Selepas terjatuh, An Najwa sedia beraksi kembali

An Najwa (kiri) sedia untuk beraksi pada minggu ketiga NSL 2023 hujung minggu ini. - Foto FB NSL.
An Najwa (kiri) sedia untuk beraksi pada minggu ketiga NSL 2023 hujung minggu ini. - Foto FB NSL.
A
A
A

PEMAIN sensasi Johor Jewels, An Najwa Azizan bersedia untuk diturunkan dalam saingan minggu ketiga Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 hujung minggu ini selepas terjatuh ketika beraksi menentang Terengganu Marvels Ahad lalu.

Menurut Penolong Jurulatih Jewels Fazira Mesnan, goal shooter (GS) itu cuma mengalami kecederaan ringan dan akan menjalani latihan seperti biasa.

"Alhamdulillah tiada yang serius. An Najwa sudah mendapatkan rawatan daripada fisioterapi. Dia cuma rasa senak mungkin kesan akibat terjatuh itu.

"An Najwa juga bersedia untuk beraksi pada Sabtu dan Ahad ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pemain berusia 26 tahun itu terjatuh ketika cuba menyelamatkan bola dari keluar gelanggang ketika aksi berlangsung pada suku keempat.

Ketika insiden tersebut, dia cuba berpaut pada tiang gol namun gagal sebelum terjatuh di bahagian kanan badan.

Sejurus kemudian dia bangun dan kembali meneruskan permainan.

Pada aksi itu, Jewels menewaskan Marvels 57-40 untuk melakar rekod bersih menang kesemua lima perlawanan bagi mengumpul 15 mata.

Artikel Berkaitan:

An Najwa bersama goal attack (GA), Adri Sheila Jean Kannemeyer menjadi tunjang buat Jewels apabila menyumbang sebahagian besar jaringan buat pasukan.

Dalam saingan pada Sabtu ini, Jewels yang dibimbing Tracey Robinson akan membuat perhitungan dengan Selangor Angels sebelum menutup saingan liga menentang pendatang baharu, Putrajaya Dynamites pada Ahad.