NSL 2023: Aksi Johor Jewels, Putrajaya Dynamites jadi tumpuan

Dynamites (jersi hijau) bertekad melakar kejutan ke atas Jewels apabila dijadualkan beraksi pada Ahad. Foto FB NSL
Dynamites (jersi hijau) bertekad melakar kejutan ke atas Jewels apabila dijadualkan beraksi pada Ahad. Foto FB NSL
A
A
A

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca Sinar Harian.

Saya rasa cukup bertuah kerana dapat bersama keluarga Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 buat musim ketiga berturut-turut.

Bukan sahaja memiliki ramai kenalan baharu dalam kalangan pemain dan jurulatih, saya juga semakin menyenangi komuniti bola jaring di negara ini.

Ia mungkin tidak seramai bola sepak tetapi jiwa mereka cukup besar, malah sokongan padu kumpulan peminat beberapa pasukan juga pasti menghadirkan cemburu.

Johor Jewels antara pasukan yang bertuah kerana tiket kesemua perlawanan membabitkan pasukan dari Selatan tanah air ini selalunya ‘sold out’ awal dan ia memberi motivasi tambahan kepada barisan pemain.

Tidak hairanlah, ketika dilabel humble musim ini kerana hanya mendapatkan seorang pemain import baharu, Adri Kennemeyer dari Afrika Selatan, Jewels kekal mendominasi dengan rekod bersih menang kesemua lima aksi dengan saingan berbaki dua perlawanan lagi.

Jewels (jersi merah jambu) menerajui carta NSL apabila melakar rekod bersih menang kesemua lima perlawanan setakat ini. Foto FB NSL
Jewels (jersi merah jambu) menerajui carta NSL apabila melakar rekod bersih menang kesemua lima perlawanan setakat ini. Foto FB NSL

Anak buah Tracie Robinson ini sudah boleh dikatakan sebelah kaki ke separuh akhir NSL 2023, sekali gus semakin hampir mencipta satu lagi sejarah – menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan NSL dengan rekod bersih tanpa kalah.

Artikel Berkaitan:

Baki tiga lagi slot masih panas menjadi rebutan antara Putrajaya Dynamites, KL Wildcats dan Perak Phoenix, malah Terengganu Marvels dan Selangor Angels juga tidak ketinggalan dalam pungutan mata.

Menariknya, Dynamites yang juga pendatang baharu musim ini dilihat mula memasang strategi goal difference bagi mengelakkan kebergantungan kepada nasib untuk mara ke separuh akhir.

Wildcats yang tewas tipis 53-54 kepada Jewels pada aksi pertama berkongsi 12 untuk menghuni tangga ketiga carta di belakang Dynamites bagi menutup minggu kedua NSL 2023.

Cabaran Phoenix yang berada di kedudukan keempat dengan sembilan mata tidak boleh dipandang mudah, selain Terengganu Marvels yang dikendalikan Siti Nor Farhana Mustafa bersedia menjadi 'pengacau' buat kelompok pasukan teratas liga.

Bagaimanapun perlu diingat Jewels memegang rekod jurang mata paling besar selepas tewaskan Negeri Sembilan Venom 70-18 dalam aksi pada 21 Oktober lalu.

Ini menyaksikan perlawanan Jewels menentang Dynamites paling dinantikan pada minggu ketiga NSL hujung minggu ini.

Daripada segi impak yang diberikan pemain import yang menjadi nilai tambah kepada pasukan, Jewels dilihat memiliki kelebihan termasuk aksi konsisten Gayani Dissanayake di bentang terakhir.

Dynamites pula mempunyai barisan pemain berpengalaman dari era berlainan dan mampu menawarkan rotation terutama pada shooter mereka dengan penjaring terbanyak NSL 2022, Siti Maisarah Affandi sudah mendapat sentuhan dengan melakukan 107 gol pada minggu kedua musim ini.

Ini menjadikan saya tidak sabar untuk mengetahui kesudahan pertemuan yang dijangka epik dalam lipatan sejarah NSL ini.

Jumpa di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur atau saksikan bersama seisi keluarga di kaca televisyen secara langsung dibawakan di Astro Arena saluran 801 dan platform Astro Go.

* Suzana Basri ialah Penyampai Berita Astro Arena & Pengulas Sukan NSL