Cadangan mansuh PRK hina demokrasi, kata Lian Ker

Lian Ker
Lian Ker
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) untuk memansuhkan pilihan raya kecil (PRK) adalah satu tindakan menghina sistem demokrasi dan menafikan hak pengundi.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, PRK boleh dianggap sebagai 'ujian pertengahan tahun' dan peluang untuk rakyat memberi maklum balas, semak imbang tindakan dan dasar semasa kerajaan.

"PRK juga peluang kerajaan dan pembangkang turun padang bagi menyukat sokongan rakyat dan membolehkan kerajaan menerima maklum balas daripada rakyat mengenai polisi-polisi dilaksanakan.

"Ia juga memberi peluang kepada pengundi untuk menilai prestasi kerajaan dan menyuarakan pendapat mereka. Ini boleh dilihat dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

"Di mana calon parti kerajaan telah kalah dengan 15,000 undi sebagai tanda tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH (Pakatan Harapan)," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurutnya, pemansuhan sistem PRK dengan kekosongan kerusi diisi secara automatik oleh parti politik penyandang seakan-akan satu tindakan ke arah 'authoritarian' dan 'dictatorship'.

"Cadangan ini merupakan satu langkah ke belakang untuk proses demokrasi. Adakah cadangan 'knee jerk' yang tidak masuk akal ini dibuat susulan kekalahan teruk PH dalam PRK Tanjung Piai yang lalu?

"Adakah ini satu tindak balas atau cara PH menghukum rakyat kerana berani memalukan mereka? Atau adakah cadangan 'reformasi' ini adalah agenda terbuka PH untuk menafikan hak pengundi dan mengekalkan kedudukan mereka sendiri sebagai kerajaan tanpa segan silu dan malu pada dunia yang mendokong demokrasi?

Artikel Berkaitan:

"DAP sebagai Parti Tindakan Demokratik harus tukar nama kepada Parti Tolak Demokrasi yang menghala kepada memusatkan kuasa ala komunis," katanya.

Lian Ker berkata, ERC juga dilaporkan mencadangkan pemansuhan PRK bagi peringkat kerusi Parlimen, manakala PRK boleh diadakan jika terdapat kekosongan dalam kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Ini adalah tidak munasabah, tak logik dan tidak masuk. Hasrat semua rakyat, tidak kira latar belakang politik, kaum dan agama, memilih perubahan kerajaan dengan niat untuk melihat negara kita bertambah baik dan memperkasakan sistem demokrasi negara.

"Namun 'reformasi' sistem pilihan raya di bawah kerajaan PH dilihat semakin membelakangkan segala harapan rakyat.

"Janji melaksanakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih belum ditunaikan tetapi sekarang pula mereka mahu memansuhkan PRK. Apa lagi yang boleh diharapkan rakyat dalam 'reformasi' PH," katanya.