10,955 individu terlibat kes dadah ditahan sejak Januari lalu

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menahan seramai 10,955 individu yang disyaki terlibat dalam kes jenayah narkotik sejak Januari hingga September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu seramai 10,614 orang.

"Dalam tempoh sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM60 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM122 juta," katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Allaudeen berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta merampas 208 kilogram dadah ienis syabu dengan nilai rampasan keseluruhan RM7 juta, pada 18 dan 19 Oktober lalu.

"Ia merupakan kejayaan yang membanggakan Polis Kuala Lumpur," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Allaudeen berkata Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Kuala Lumpur telah menerima klien yang terdiri daripada warga polis hadir untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung isu yang dihadapi antaranya kerjaya, isu keluarga, kesihatan, peribadi, psikologi, tata kelakuan, kewangan, dan penempatan.

“Sejumlah 1,001 sesi kaunseling telah diberikan melibatkan sebanyak 704 warga polis bagi tempoh Januari hingga September lalu, kita perlu mengelakkan diri dari mengstigmakan mereka yang mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling," katanya.

Artikel Berkaitan: