Kes hilang selepas COD iPhone: Polis minta Daniel Haikal, tunang tampil

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Lelaki yang didakwa hilang selama empat hari ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit sebelum dijumpai selamat diminta untuk tampil kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis gagal menghubungi atau mengesan keberadaan mangsa dan juga tunangnya buat masa ini.

"Pihak polis meminta mereka segera hubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan atau balai polis terdekat untuk bantu siasatan.

"Buat masa ini kita cuma dimaklumkan berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Brickfields dan mangsa telah pun kembali kepada keluarganya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tetapi tiada sebarang laporan kejadian samun atau jenayah lain daripada pihak mangsa.

Kata Hussein, pihaknya sedang usaha berhubung dengan mangsa untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku.

"Jika ada pengesahan daripada mangsa mengenai sebarang perkara jenayah, pihak IPD Klang Selatan akan buka kertas siasatan," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Daniel Haikal, 27, dikatakan diselamatkan pemandu lori pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Daniel dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang selepas dikatakan sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong sambil berlari dan menangis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid telah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa di Balai Polis Pantai, IPD Brickfields, yang dibuat tunang lelaki itu.

Allaudeen dilaporkan berkata, kes itu kemudian dirujuk ke IPD Klang Selatan selepas mangsa dikesan kali terakhir bertemu pelanggannya di pusat beli-belah GM Klang.