'Ada desakan supaya Iskandar Dzulkarnain dipecat' - Zainol Fadzi

Zainol Fadzi dan Iskandar Dzulkarnain
Zainol Fadzi dan Iskandar Dzulkarnain
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti mengenai sebarang tindakan terhadap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mengumumkan sokongan kepada kerajaan.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh pimpinan Bersatu Perak selepas mengadakan pertemuan bersama beberapa ahli Parlimen dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak serta wakil pimpinan di peringkat bahagian pada 17 Oktober lalu.

Jelas beliau, Bersatu Perak tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang tindakan disiplin kepada Iskandar Dzulkarnain yang juga Bendahari Bersatu negeri.

"Kita mengambil pendirian untuk menyerahkan isu Datuk Iskandar kepada pimpinan tertinggi dan PN (Perikatan Nasional) Pusat sebab Bersatu negeri tidak ada locus standi untuk bertindak.

"Kita tak boleh ambil apa-apa tindakan sebab tak ada kuasa nak pecat walaupun ada cadangan di kalangan ahli jawatankuasa negeri, tetapi kita tak boleh buat, lagi pun lantikan (Bendahari Bersatu Negeri) dibuat oleh ketua badan pimpinan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, selain itu Iskandar Dzulkarnain juga masih kekal sebagai Bendahari Bersatu Perak selagi belum ada keputusan dibuat oleh pimpinan tertinggi.

Dalam perkembangan lain, Zainol Fadzi berkata, pihaknya juga sedang menunggu arahan lanjut mengenai isu peletakan jawatan beramai-ramai sebahagian besar ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Gerik.

Menurutnya, ketika ini Bersatu Bahagian Gerik tidak mempunyai ketua selepas pemangku ketua bahagian bersama beberapa ahli jawatankuasa meletak jawatan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana katanya, peletakan jawatan itu tidak menjejaskan kedudukan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob yang turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu bahagian tersebut.

Menurutnya, tindakan melepaskan jawatan itu wajar kerana lantikan tersebut dibuat oleh pemangku ketua yang telah meletakkan jawatan kerana setiausaha bahagian tidak pertandingkan.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan nasib Iskandar Dzulkarnain akan ditentukan di dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada Khamis ini.

Minggu lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Susulan kenyataan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan suatu mesyuarat akan diadakan dalam beberapa hari lagi untuk membincangkan perkara itu, sekali gus memutuskan tindakan selanjutnya ke atas Iskandar Dzulkarnain.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang melalui satu kenyataan, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.