Mekanisme Akaun Fleksibel KWSP dijangka timbulkan perdebatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RAKYAT Malaysia pastinya menantikan inisiatif kemudahan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal dilaksanakan pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan, Akaun 3 KWSP itu boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa khususnya ketika kecemasan.

Menurut beliau, langkah itu adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan rakyat ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan.

Seperti sedia maklum, kerajaan bertegas untuk tidak meneruskan pelaksanaan pengeluaran bersasar dana tersebut meskipun digesa oleh beberapa pihak termasuk parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada 3 April, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran bersasar itu berikutan rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

Ujar beliau, kerajaan bukan memilih jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti sementara dan tinggalkan beban masalah kepada pimpinan lain di masa hadapan untuk diselesaikan.

Ditambah pula dengan situasi semasa negara yang masih lagi dibelenggu dengan isu kenaikan harga barang, kos sara hidup serta keterjaminan makanan, rakyat menjadi semakin terbeban dengan permasalahan tersebut.

Hari demi hari, masyarakat terutamanya golongan B40 terpaksa bekerja lebih keras, menambahkan usaha dalam menjana pendapatan demi memastikan kelangsungan hidup untuk diri dan keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim turut mencadangkan supaya langkah kerajaan mewujudkan Akaun Fleksibel itu mampu berfungsi sebagai tabung kecemasan untuk rakyat sekiranya berlaku situasi luar jangka seperti sebelum ini.

Ulasnya, ia kerana akaun baharu itu boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira kategori pendapatan.

Jelasnya, tindakan itu juga boleh menjadi penyelamat kepada Akaun 1 dan 2 pencarum daripada diusik sebelum mencapai tempoh matang sebagai persediaan menghadapi hari persaraan nanti.

Bagaimanapun, isu sama ada mekanisme akaun baharu KWSP itu akan menjadi faktor penyelamat atau pembaziran dijangka menimbulkan perdebatan pelbagai pihak.

Ia berikutan melihat kepada situasi lalu, terdapat segelintir masyarakat yang berdegil menggunakan wang dari dana tersebut untuk tujuan bukan kecemasan.

Pastinya suara rakyat mahupun dari pihak berkepentingan memainkan peranan dalam memastikan objektif kerajaan dan KWSP bagi membantu rakyat susah dapat dicapai sekali gus diharap mengekalkan momentum simpanan kewangan pada hari persaraan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!