APG 2022: Kontinjen negara raih enam pingat di hari pertama

Muhammad Nur Syaiful (kiri) mendapat pingat emas pertama negara meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan, Lee Ker pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Arena Akuatik Hangzhou malam ini. - Foto Bernama
Muhammad Nur Syaiful (kiri) mendapat pingat emas pertama negara meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan, Lee Ker pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Arena Akuatik Hangzhou malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

HARI pertama Sukan Para Asia 2022 menyaksikan kontinjen negara beraksi cemerlang apabila meraih satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

Pingat pertama negara muncul daripada atlet renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli yang menghadiahkan emas dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) pada aksi di Arena Sukan Akuatik di sini hari ini.

Seorang lagi wakil negara, Zy Lee Kher mengiringi kejayaan emas Nur Syaiful itu dengan meraih gangsa.

Bagaimanapun, Nur Syaiful gagal dalam cubaannya mempertahankan emas 50m gaya bebas lelaki SB5 (kecacatan fizikal) yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta, apabila acara itu didominasi tiga wakil tuan rumah China yang menghuni kedudukan podium dan sekadar meletakkan beliau di kedudukan keempat.

Di Velodrom Pusat Sukan Chun' An Jieshou, skuad berbasikal trek turut menceriakan kem Malaysia apabila membawa pulang dua perak.

Perak pertama diraih menerusi acara 4,000m individu kejar-mengejar lelaki B (masalah penglihatan) oleh Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol.

Kuartet Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Muhammad Hafiz Jamali dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan meraih perak kedua dalam acara 750m pecut campuran berpasukan C1-C5 (kecacatan anggota)

Malaysia turut meraih gangsa dalam acara 3,000m individu kejar-mengejar wanita B (masalah penglihatan) menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang dibantu Nurul Suhada Zainal.

Artikel Berkaitan:

Di Stadium Pusat Sukan Huang Long, atlet lontar peluru wanita Noor Imanina Idris muncul individu pertama menyumbang pingat bagi kem olahraga selepas meraih gangsa dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual).

Tumpuan kontinjen negara esok, terarah pada kem olahraga untuk membutirkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20 - kecacatan intelektual), Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 - kecacatan intelektual) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m lelaki T36 - kecacatan fizikal). - Bernama