Sukan Para Asia: Latif 'terbang tinggi' raih emas di Hangzhou

Aksi Abdul Latif dalam acara akhir Lompat Jauh T20 pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Stadium Huang Long hari ini. - Foto: Bernama
Aksi Abdul Latif dalam acara akhir Lompat Jauh T20 pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Stadium Huang Long hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

JAGUH lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly menghadiahkan emas keempat buat kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, sekali gus melengkapkan koleksi kilauan pingat ketiga berturut-turutnya di temasya empat tahun sekali itu, di sini hari ini.

Pada aksi di Stadium Pusat Sukan Huanglong, pemenang pingat emas dua kali Sukan Paralimpik 2016 dan 2020 itu, melakukan lompatan terbaiknya pada percubaan keempat dengan 7.18 meter (m), selepas melakukan 7.08m pada percubaan pertama bagi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan fizikal).

Mengiringi kejayaan podium, rakan senegara Zulkifly Abdullah yang meraih gangsa dengan lompatan terbaiknya 6.48m, dilakukan pada percubaan keempat selepas melakukan 5.91m pada percubaan ketiga.

Sementara itu, pingat perak diraih wakil Arab Saudi Hassan Nasser Dawshi, yang melakukan lompatan 6.80m pada percubaan keduanya.

"Syukur sebab dapat pertahankan pingat emas ketiga pada Sukan Para Asia ini...Saya memang sasar untuk emas sahaja, tidak memikirkan soal membuat rekod lompatan baharu,” katanya.

Beliau dalam masa sama mengakui tidak berada di prestasi terbaiknya, biarpun mendominasi saingan acara lompat jauh T20 sebentar tadi.

"Saya hanya guna 50 peratus tenaga sahaja, saya ada misi lagi untuk tahun depan termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan Paralimpik 2024 Paris,” katanya.

Terdahulu, jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan emas ketiga kontinjen negara, selepas muncul juara acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual). - Bernama

Artikel Berkaitan: