Penglibatan Mahathir: Itu dakwaan yang berniat tidak baik...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa punca peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkemungkinan mempunyai kaitan dengan unsur-unsur politik hanyalah satu tuduhan bermotif adu domba.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tuduhan kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan perkara itu disifatkannya hanyalah tuduhan liar yang berniat jahat.

"Saya rasa ini satu dakwaan yang berniat tidak baik dan saya rasa kita tidak perlu ambil endah dengan pandangan salah dan berniat tidak baik.

"Sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir punyai banyak tugas sebagai PM dan hubungan antara beliau dengan Agong sangat jelas tiada ruang untuk menimbulkan syak wasangka," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu timbul dakwaan keterlibatan Dr Mahathir dalam isu ini apabila wujudnya desas-desus bahawa hubungan yang agak kurang menyenangkan antara Sultan Muhammad V dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau berharap agar rakyat Malaysia tidak termakan dengan tohmahan ini.

"Perkara ini ada niat adu domba dan saya harap rakyat Malaysia tidak termakan dengan pandangan sebegini," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sebelum ini Dr Mahathir menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, untuk meletakkan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Mahathir, perkara itu diserahkan kepada Majlis Raja-raja yang mempunyai hak bagi memutuskan apa juga bentuk tindakan selanjutnya berhubung perkara itu.

Beliau seterusnya berharap penggantian Yang di-Pertuan Agong yang baharu dapat diselesaikan secepat mungkin.