Bekas hakim, peguam swasta dilantik pengantara proses mediasi

Azalina bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Sistem eKlinik 6G di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Azalina bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Sistem eKlinik 6G di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Khidmat bekas hakim dan peguam diperlukan untuk dilantik sebagai pengantara bagi menjalankan proses mediasi di Jabatan Bantuan Guaman (JBG), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam undang-undang yang diperlukan untuk menjadi orang tengah, dalam usaha membantu pihak bertikai mencapai kata sepakat tanpa kes-kes berkenaan dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan eKlinik Guaman 6G JBG di sini hari ini.

Azalina berkata, JBG juga akan mendapatkan khidmat peguam swasta dan pengamal undang-undang badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pengantara, tertakluk kepada kes-kes yang perlu dikendalikan.

"Lantikan ini bagi memperkasakan perkhidmatan pengantara dalam penggalakan penyelesaian kes di luar mahkamah,” katanya serta menambah bidang kuasa melantik pengantara terletak di bawah Ketua Pengarah JBG.

Azalina berkata, sesi pengantara atau mediasi bukan sahaja dijalankan secara fizikal tetapi juga boleh dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan masyarakat, selain mengurangkan kos pengangkutan pihak-pihak bertikai.

Beliau berkata, perkara itu juga bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman.

Dalam pada itu, Azalina berkata, kes syariah merupakan yang paling banyak dikendalikan oleh JBG, sehingga menimbulkan tanggapan bahawa jabatan itu hanya memberikan fokus terhadap kes berkenaan.

Susulan itu, beliau mahu kes syariah terutamanya yang melibatkan perselisihan keluarga, sebaiknya diselesaikan menerusi sesi mediasi supaya JBG dapat menumpukan dalam penyelesaian kes sivil dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah minta JBG untuk kaji semula kes syariah dan jika dapat, diselesaikan melalui pengantara.

"Bila bercakap pasal reputasi JBG, banyak kata hanya menyelesaikan kes syariah, dan saya tidak begitu gemar.

"Kita (JBG) juga banyak mengendalikan kes sivil dan jenayah,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Azalina berkata, sistem eKlinik 6G dibangunkan bagi membolehkan mana-mana organisasi memohon untuk mengadakan program klinik guaman dan literasi undang-undang JBG, di lokasi pilihan pemohon.

Antaranya khidmat disediakan ialah permohonan guaman jenayah, sivil, syariah, pengantaraan, khidmat nasihat guaman dan khidmat pendamping guaman yang dirujuk sebagai 6G. -Bernama