PDRM siap siaga hadapi banjir - Razarudin

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan sedia menggerakkan kekuatan operasi dengan sebaiknya apabila diperlukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perancangan atur gerak rapi telah dibuat dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula lebih awal pada tahun ini iaitu November hingga Mac 2024.

Beliau berkata, bagi mengetuai operasi bencana banjir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali telah dilantik sebagai Komander Operasi di peringkat pusat.

"PDRM telah mengenal pasti negeri-negeri berisiko tinggi seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak serta 5,648 kawasan 'hotspot' banjir di 163 daerah di seluruh negara.

"Ini bagi memudahkan perancangan awal, atur gerak penugasan dan pelan intervensi keselamatan telah dilaksanakan.

"PDRM juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan lain bagi memastikan setiap misi bantuan dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam menghadapi MTL, beliau berkata, PDRM siap sedia untuk menggerakkan aset dimiliki melibatkan 503 bot banjir, treler bot (206), lori (497), kenderaan pacuan empat roda (802), van atau ambulans (17), jet ski (15), jaket keselamatan (6,028) serta lapan pesawat udara mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana berlaku.

Secara keseluruhan katanya, terdapat lima agensi kerajaan termasuk PDRM yang akan ditugaskan untuk menghadapi MTL dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 61,839 orang.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, jumlah itu merangkumi 19,085 daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 4,205 orang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (24,114), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10,510) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (3,925).

Tegas beliau, PDRM bersama rakan-rakan agensi keselamatan lain akan sentiasa mengambil tindakan segera di kawasan terlibat bencana banjir.

"Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan agar memberi kerjasama serta patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah.

"PDRM juga akan memastikan peranan utama menjaga tahap keselamatan termasuk di sempadan negara kekal diberikan tumpuan sepanjang penugasan bencana banjir berlangsung," katanya.