Ayam, daging sejuk beku diragui status halal bernilai RM19 juta dirampas

Shahurinain (depan) menunjukkan gambar rampasan daging dan ayam sejuk beku di dua premis di Penampang dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
Shahurinain (depan) menunjukkan gambar rampasan daging dan ayam sejuk beku di dua premis di Penampang dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Daging dan ayam antara produk sejuk beku bernilai RM19 juta yang berjaya dirampas di dua premis di Penampang, selepas status halalnya diragui dan dipercayai dibawa masuk dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Serbuan itu dilakukan oleh sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Kinabalu dan Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar kira-kira jam 10 pagi Sabtu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut digunakan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan ayam dan daging sejuk beku serta pelbagai makanan laut beku yang lain untuk tujuan pasaran tempatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terdapat lima tempat penyimpanan sejuk beku ditemukan dan terdapat kotak yang mengandungi pelbagai bahagian ayam sejuk beku, itik, tulang lembu, daging kambing, sotong, nuget, ikan dan bebola daging daripada pelbagai jenama.

"Siasatan awal mendapati lesen bagi kedua-dua premis telahpun tamat tempoh pada Julai lalu dan kita percaya bahawa ayam serta daging tersebut dibawa masuk dari negara Brazil, Jerman, Poland, Sweden dan Australia di mana semua negara berkenaan tidak diiktiraf oleh Jakim.

"Siasatan juga mendapati ada daging yang telah tamat tempoh namun tidak dilupuskan secara betul dan kita percaya bahawa berlaku penggunaan logo halal yang disalah guna pada kotak untuk membungkus makanan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, pihaknya percaya kedua-dua premis terbabit memiliki produk dan hasil haiwan tanpa lesen sah, status halal yang meragukan dan melanggar peraturan kebersihan makanan.

"Dalam serbuan itu seramai 13 individu dipercayai sebagai pekerja turut diperiksa membabitkan sembilan lelaki dan empat wanita namun tiada tangkapan dibuat terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya rampasan bernilai lebih RM20 juta termasuk kenderaan dan peralatan di dalam premis adalah sebahagian daripada kartel namun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 15 (1) Enakmen Haiwan 2015 Negeri Sabah," katanya.