Kastam rampas ayam sejuk beku, arak, rokok bernilai RM4.6 juta

Norlela (tengah) menunjukkan barangan dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu.
Norlela (tengah) menunjukkan barangan dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan taktik tiga sindiket penyeludupan yang membuat pengikraran palsu serta menyimpan barangan seludup di sebuah gudang dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, barangan dibawa masuk adalah ayam sejuk beku, minuman keras dan rokok seludup yang membabitkan nilai rampasan termasuk cukai serta duti berjumlah RM4.6 juta.

"Dalam operasi pertama, kita berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku disyaki keratan ayam dan ayam bulat menggunakan dua kontena di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, pada 7 Ogos lalu.

Norlela (kanan) menunjukkan ayam sejuk beku dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil serbuan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu.
Norlela (kanan) menunjukkan ayam sejuk beku dirampas daripada sindiket penyeludupan hasil serbuan di sekitar Lembah Klang pada Ogos lalu.

"Dalam pemeriksaan bersama wakil ejen pada jam 4.30 petang mendapati barangan dagangan seberat 56 tan itu tidak memiliki lesen import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan gagal mengemukakan sijil halal yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket membuat pengikraran mengelirukan iaitu 'frozen foodstuff' pada borang kastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket juga cuba mengelak dikesan dengan sengaja melengahkan pengikraran supaya sukar dikesan melalui pintu masuk negara," katanya.

Bagi kes kedua, Norlela berkata, JKDM mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras melalui penahanan sebuah kontena di lokasi sama, pada 9 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sejumlah 25,920 liter minuman keras dengan anggaran nilai rampasan RM872,730 disyaki tidak berkastam dan diikrar sebagai barangan perabot dari negara jiran.

"Dua wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan dan mereka sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan ketiga pada jam 10.30 pagi,22 Ogos lalu, pasukan JKDM mematahkan aktiviti pembekalan rokok seludup melalui serbuan terhadap sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor.

"Kesemua 5,186,400 batang rokok bernilai RM3.5 juta termasuk cukai dirampas dan tiga lori yang disyaki digunakan untuk mengedar rokok ke kawasan sekitar turut disita," katanya.

Norlela berkata, berdasarkan siasatan gudang yang terletak di kawasan terpencil itu sudah beroperasi selama tiga bulan dan sindiket aktif menjalankan penjualan secara pukal kepada pelanggan.

"Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.