13 maut akibat hujan lebat di Tajikistan

Hujan lebat mengakibatkan kematian 13 orang di barat Tajikistan. Foto hiasan 123RF
Hujan lebat mengakibatkan kematian 13 orang di barat Tajikistan. Foto hiasan 123RF
A
A
A

DUSHANBE - Hujan lebat mengakibatkan kematian 13 orang di barat Tajikistan, kata perkhidmatan akhbar presiden negara itu, Emomali Rahmon, pada Isnin.

"Akibat hujan lebat semalam, 13 orang maut, termasuk 11 di bandar Vahdat dan dua lagi berhampiran Rudaki,” menurut kenyataan itu.

Rahmon mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa, kata perkhidmatan akhbar itu. Presiden juga mengarahkan perdana menteri dan Jawatankuasa Situasi Kecemasan untuk memberikan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat bencana itu.

Hujan yang melanda negara itu pada Ahad menyebabkan tanah runtuh dan runtuhan batu di bandar Dushanbe, Vahdat dan Gissar, dan di daerah Rudaki, Varzob, Devashtich, Rasht, Sangvor dan Tojikobod, jurucakap jawatankuasa kecemasan, Umeda Yusufi, memberitahu Sputnik.

Lebih 100 isi rumah di empat kampung yang rosak di Vahdat telah dipindahkan ke tempat selamat, tambahnya.

Sejumlah rumah dan hartanah berhampiran ibu negara Tajikistan, Dushanbe, terjejas akibat tanah runtuh, dengan 14 kereta terperangkap dalam lumpur. Jalan raya, kemudahan, dan lima jambatan juga rosak.

Jawatankuasa kecemasan kini sedang menilai skala kerosakan. Seorang timbalan perdana menteri, ketua suruhanjaya dan ketua agensi tebus guna tanah dan pengairan telah bergerak ke lokasi bencana di Vahdat dan Rudaki. - Bernama