Bahana mengendap wanita 45 tahun dalam panggung wayang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengendap seorang wanita berusia 45 tahun di dalam sebuah panggung wayang, Jun lepas.

Tertuduh, C Murugan, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Dia didakwa telah melakukan perbuatan kurang sopan di tempat awam kepada seorang wanita warga Singapura dengan mengendap mangsa semasa menonton wayang di sebuah panggung wayang di pusat beli-belah di sini pada jam 6.20 petang, 25 Jun lepas.

Murugan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P Suthes merayu hukuman berbentuk denda yang rendah dengan alasan tertuduh kesal dan insaf atas perbuatannya.

“Tertuduh bekerja sebagai jurujual yang berpendapatan RM2,000 sebulan, tertuduh menanggung isteri serta seorang anak yang masih belajar. Beliau berjanji tidak akan ulang kesilapan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Terdahulu, Mohamad Aizat turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama kerana perbuatannya boleh mendatangkan trauma kepada orang lain.

Artikel Berkaitan:

Di mahkamah sama, seorang kelindan lori, V Gunasekaran, 50, dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencuri 80 meter wayar kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Awam Pintal, Taman Yarl di sini pada jam 4 pagi, 19 Disember lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Gunasekaran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan beliau menanggung seorang isteri dan tiga anak bagaimanapun Nurilya Ellyna memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. - BERNAMA