Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan beri impak besar

Penduduk akan menikmati peningkatan pendapatan yang lebih positif

A
A
A

Siti Asiah (duduk, tiga kiri) bergambar bersama peserta mengikuti pembentangan HIES Sempena Hari Statistik Negara 2023 di PPAS Daerah Sabak Bernam di sini pada Sabtu lepas.
Siti Asiah (duduk, tiga kiri) bergambar bersama peserta mengikuti pembentangan HIES Sempena Hari Statistik Negara 2023 di PPAS Daerah Sabak Bernam di sini pada Sabtu lepas.

SABAK BERNAM - Pelaksanaan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan memberi impak besar dari segi peningkatan pendapatan rakyat di negara ini.

Pengarah Kanan, Bahagian Perangkaan Harga, Pendapatan dan Perbelanjaan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Siti Asiah Ahmad berkata, hasil kaji selidik Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) mendapati pendapatan bergaji rakyat meningkat dari segi komposisinya daripada 61.6 peratus pada tahun 2019 kepada 62.8 peratus pada tahun lalu.

"Peningkatan sebanyak RM300 secara purata bulanan itu disebabkan faktor peningkatan gaji minimum yang dilaksanakan kerajaan pada pertengahan tahun ini," katanya selepas sesi pembentangan HIES Sempena Hari Statistik Negara 2023 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Sabak Bernam di sini pada Sabtu.

Siti Asiah memberitahu, terdapat empat punca pendapatan isi rumah kasar di negara ini iaitu melalui pendapatan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa diterima.

Jelas beliau, secara puratanya, pendapatan isi rumah kasar di negara melalui pendapatan bergaji meningkat daripada RM4,870 pada 2019 kepada RM5,327 pada tahun lalu.

Katanya, di Selangor pula menunjukkan pendapatan itu lebih tinggi iaitu RM8,210 tahun lalu berbanding RM7,133 pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pendapatan isi rumah bekerja sendiri pula di negara menurun daripada RM1,364 pada 2019 kepada RM1, 288 pada tahun lalu, manakala di Selangor pula meningkat daripada 1,554 pada 2019 kepada 1,785 pada tahun 2022," jelas beliau.

Siti Asiah menjelaskan, dari segi punca pendapatan melalui harta dan pelaburan seluruh negara meningkat, manakala di Selangor menunjukkan penurunan.

"Pendapatan kasar isi rumah melalui harta dan pelaburan seluruh negara pada tahun ini daripada RM1,023 pada 2019 kepada RM1,039 pada tahun lalu dan di Selangor mencatatkan RM1,581 pada tahun 2019 kepada RM1,463 pada tahun lalu," ujar beliau.

Tambah beliau, terdapat peningkatan pendapatan berpunca daripada pindahan semasa diterima di negara dan di negeri ini.

"Purata pendapatan daripada pindahan semasa di negara pula ialah sebanyak RM826 tahun lalu berbanding RM644 tahun 2019, sementara di Selangor daripada RM559 tahun sama meningkat RM775 pada tahun lalu," jelasnya.

Sebahagian peserta mendengar pembentangan HIES Sempena Hari Statistik Negara 2023 pada Sabtu.
Sebahagian peserta mendengar pembentangan HIES Sempena Hari Statistik Negara 2023 pada Sabtu.

Siti Asiah berkata, terdapat 13 kumpulan perbelanjaan penggunaan isi rumah dengan corak berubah mengikut keadaan semasa.

"Contohnya perbelanjaan melibatkan makan di luar rumah seluruh negara pada tahun 2019 kalau kita lihat sebanyak 13.7 peratus dari segi komposisinya melonjak kepada 16.1 peratus pada tahun 2022.

"Perkara-perkara lain yang kalau kita lihat dari segi kesihatan meningkat kesan daripada perbelanjaan kepada produk yang menjurus kepada (perlindungan daripada) Covid-19," jelas beliau.

Katanya, dari segi komponen kumpulan pendidikan seperti tuisyen yang selalunya dibayar isi rumah pula menurun kesan daripada pemansuhan peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Dalam pada itu, Siti Asiah memberitahu, DOSM pada waktu ini sedang membuat persediaan bagi pelaksanaan HIES pada tahun depan.

"HIES yang dilaksanakan secara berkala dengan frekuensi dua kali dalam tempoh lima tahun adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan tingkat pendapatan, corak perbelanjaan, status kemiskinan dan jurang pendapatan isi rumah di negara ini.

"Data daripada kaji selidik ini digunakan untuk tujuan perancangan dan pemantauan terutamanya dalam penyediaan Rancangan Malaysia.

Kata beliau, pelaksanaan kaji selidik itu selaras dengan cadangan dan amalan di peringkat antarabangsa berdasarkan 'Handbook on Household Income Statistics' yang dikeluarkan oleh United Nations.

"HIES dilaksanakan secara saintifik dengan menggunakan kaedah pensampelan berkebarangkalian mewakili populasi 8.4 juta isi rumah persendirian di Malaysia dengan 7.9 juta isi rumah persendirian adalah warganegara," jelas Siti Asiah.