KPDNHEP Kelantan rekod 83 rampasan di sempadan

Adnan (kanan) meninjau barangan yang dijual di Mydin Kubang Kerian selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) hari ini.
Adnan (kanan) meninjau barangan yang dijual di Mydin Kubang Kerian selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merekodkan sebanyak 83 kes rampasan di sempadan dengan nilai lebih RM432,000 sepanjang tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, rampasan tersebut adalah melalui kerjasama melibatkan enam agensi termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Antara barang rampasan tersebut melibatkan minyak masak dan tepung. Kemungkinan dua makanan ini mendapat permintaan yang tinggi di luar sana, selain daripada mereka lebih yakin dengan kelulusan halal yang ada pada produk kita," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) di Mydin Kubang Kerian bagi mengekang kenaikan harga barang keperluan menjelang perayaan Krismas. Skim tersebut mula dikuatkuasakan pada 22 hingga 31 Disember.

Adnan berkata, pihaknya juga telah melaksanakan Ops Catut 6.0 (PSP) bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal.

"Tempoh pelaksanaan Ops ini adalah bermula 1 Disember 2019 hingga 30 Jun 2020 iaitu selama enam bulan bersamaan dengan pelaksanaan Program Subsidi Petrol Bersasar tahun depan," katanya.

Adnan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pengguna yang membeli barangan dapur di Mydin Kubang Kerian hari ini.
Adnan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pengguna yang membeli barangan dapur di Mydin Kubang Kerian hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, KPDNHEP juga telah mewujudkan pelan kontingensi sebagai langkah menangani sebarang gangguan bekalan barang kawalan semasa berlakunya fenomena bencana alam khususnya banjir.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 114 pemegang lesen borong barang kawalan telah dilantik sebagai pemegang stok mini. Mereka diberikan kebenaran menyimpan stok barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had kuantiti semasa yang dibenarkan dalam lesen sebagai stok penimbal.

"Terdapat 40 pemegang stok mini barangan kawalan di Kota Bharu, Pasir Mas (27), Tanah Merah (12), Kuala Krai (22) dan 13 Gua Musang. Selain itu kita juga telah melakukan pemeriksaan harga bagi pakaian sekolah bermula 18 Disember hingga 3 Januari ini. Langkah tersebut diambil bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tinggi dan tidak munasabah," katanya.