17 jenis barang kawalan harga sempena Krismas di Sabah

52
52
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyenaraikan 17 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 berkuat kuasa dari 22 hingga 31 Disember ini.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, ia berbeza daripada Semenanjung kerana hanya Sabah, Sarawak dan Labuan yang turut menyenaraikan kepak ayam sebagai barangan dalam harga terkawal.

“Harga maksimum ini juga dilaksanakan di pasar-pasar, kedai runcit dan jika barangan yang terkawal itu tidak mempunyai tanda harga merah jambu atau harga lebih mahal, aduan boleh dibuat melalui sembilan saluran termasuk aplikasi WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan tinjauan skim harga itu peringkat negeri di Pasar raya Everise, Imago di sini hari ini.

Georgie berkata, hampir 200 pegawai penguat kuasa akan memantau sepanjang tempoh skim itu dilaksanakan bagi memastikan harga maksimum itu dipatuhi.

Katanya, penentuan harga itu diadakan selepas perbincangan antara setiap pihak terlibat bagi memastikan pelaksanaan skim itu akan memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna.

Perincian barangan terlibat ialah ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya); ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal); ayam belanda import; kepak ayam; daging kambing dan bebiri import bertulang;telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji).

Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji); telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji); lada benggal hijau; tomato, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing); cili merah; ubi kentang import (China); daging babi (perut)(harga maksimum di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja); daging babi (daging dan lemak) (harga maksimum di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja) dan babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Georgie berkata, KPDNHEP kini sedang dalam proses untuk menyerahkan surat setuju terima kepada beberapa penerima berhubung pembekalan dan pembayaran petrol dan diesel bersubsidi di kawasan pedalaman Sabah.

Baru-baru ini, media melaporkan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Raymond Ahuar membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pembekalan minyak bersubsidi khususnya di kawasan Pensiangan dan Pagalungan yang menggunakan bot sebagai pengangkutan utama penduduknya. - Bernama