MySinar sasar RM100,000 sumbangan tabung #BencanaBanjir

Penasihat Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar), Datuk Muhammad Nasir Hamzah (empat dari kanan) bersama Presiden, Mohd Fadzil Fairus Guriaman (lima dari kiri) melancarkan Tabung Bencana Banjir yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Khairi, Nik A Farez, Mohd Fadzil Fairus)
Penasihat Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar), Datuk Muhammad Nasir Hamzah (empat dari kanan) bersama Presiden, Mohd Fadzil Fairus Guriaman (lima dari kiri) melancarkan Tabung Bencana Banjir yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Khairi, Nik A Farez, Mohd Fadzil Fairus)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) menyasarkan RM100,000 untuk tabung #BencanaBanjir sebagai persediaan bagi membantu mangsa terjejas pada musim tengkujuh yang dijangka berlaku tahun ini.

Presiden pertubuhan itu, Mohd Fadzil Fairus Guriaman berkata, tabung tersebut dilancarkan lebih awal iaitu pada bulan ini bagi memastikan bantuan secukupnya diberikan semasa dan pasca banjir.

“Kalau boleh semasa berlakunya banjir di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu atau Kelantan, pihak kami antara yang pertama turun padang untuk menghulurkan bantuan.

“Contoh bantuan yang orang ramai boleh salurkan selain kewangan ialah keperluan asas seperti tuala wanita, lampin kanak-kanak, pakaian dan ubat-ubatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Presiden MySinar, Mohd Khairi Yazid berkata, bantuan bentuk tenaga juga amat diperlukan selepas banjir untuk membersihkan kediaman mangsa dan persekitaran yang terjejas.

Jelasnya, bantuan orang ramai amat diperlukan untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat lebih selamat seperti pusat pemindahan sementara.

“Kita menyumbang tenaga untuk membantu mereka (mangsa) seperti cuci kawasan persekitaran dan bukan sahaja daripada sudut barangan semata-mata, namun ia melibatkan keseluruhan.

“Seperti tahun sebelum ini, ada syarikat besar yang turut menghulurkan pelbagai bantuan dalam bentuk barangan atau perkhidmatan kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa pertubuhan tersebut, Nik A Farez Nik Ali berkata, tabung atau pergerakan bantuan itu tidak mengira warna kulit, bangsa, kepercayaan dan anutan serta negeri.

Tambahnya, MySinar akan bergerak mengikut kapasiti dan kebolehcapaian pihaknya untuk menyalurkan bantuan dengan kepimpinan yang telus untuk kerja-kerja amal seperti ini.

“Kita perlu memberi kepercayaan kepada pertubuhan ini kerana mereka mempunyai kepimpinan yang berpengalaman dan bagus,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Maybank 562218233147 (Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia).

Selain itu, pusat pengumpulan juga dibuka pada Isnin di Kompleks Karangkraf di sini bagi memudahkan pihak yang ingin menyampaikan bantuan dalam bentuk barangan, namun pakaian lama tidak diterima.