Nadeera juara Big Stage 2023, bawa pulang RM100,000

Nadeera memperoleh markah sebanyak 68.39 peratus sekali gus mengetepikan lima peserta lain terdiri daripada Waode, Putera Muhammad, Hoondoo, Puteri Khareeza dan Aufahanie.
Nadeera memperoleh markah sebanyak 68.39 peratus sekali gus mengetepikan lima peserta lain terdiri daripada Waode, Putera Muhammad, Hoondoo, Puteri Khareeza dan Aufahanie.
A
A
A

PENYANYI Nadeera Zaini menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara Big Stage musim kelima pada konsert malam kemuncak yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Mengisi tema ultimatum, Nadeera atau nama penuhnya Farah Nadeera Zaini, 30, tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu Never Enough nyanyian asal Loren Allred dan Gundah untuk segmen Battle Mashup bersama Waode.

Penyanyi kelahiran Johor itu memperoleh markah sebanyak 68.39 peratus sekali gus mengetepikan lima peserta lain terdiri daripada Waode, Putera Muhammad, Hoondoo, Puteri Khareeza dan Aufahanie.

Kemenangan tersebut melayakkan Nadeera membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah single baharu ciptaan komposer antarabangsa, Hyun Shin dan trofi.

Naib juara pula menjadi milik peserta dari Indonesia Waode dengan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi dan diikuti Putera Muhammad di tempat ketiga yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000 beserta trofi.

Sementara itu HoonDoo, Aufahanie dan Puteri Khareeza pula masing-masing berpuas hati di tempat keempat (RM15,000), kelima (RM5,000) dan keenam (RM5,000).

Anugerah Dominasi Persembahan Terbaik menjadi milik Aufahanie yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Kesemua finalis diadili tiga juri profesional yang terdiri daripada Ajai dan Aina Abdul selaku juri tetap serta Datuk Ramli MS sebagai juri jemputan.

Pentas akhir turut dimeriahkan dengan kehadiran Jihan Muse sebagai Presiden Netizen.

Big Stage 5 yang dihoskan oleh pengacara serba boleh, Elly Mazlein dan Rina Nose itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 7 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!