Kos rawatan cecah RM100,000 di Singapura ditanggung Perkeso

Nurul Amirah (kiri) menerima bayaran faedah daripada Perkeso di rumahnya di Taman Megah pada Khamis.
Nurul Amirah (kiri) menerima bayaran faedah daripada Perkeso di rumahnya di Taman Megah pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung bil rawatan Allahyarham Zainudin Hairi yang mencecah hampir RM100,000 di National University Hospital (Hospital Universiti Kebangsaan) Singapura.

Zainudin, 57, yang bekerja sebagai pemandu treler diserang angin ahmar pada 26 Jun lalu ketika menghantar barang ke Singapura dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selama dua hari sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Zainudin menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika menerima rawatan di ICU HSA pada 2 Julai lalu.

Menurut anak sulungnya, Nurul Amira Zainuddin, 26, tindakan pantas Perkeso membayar bil perubatan arwah bapanya amat membantu keluarganya.

Dia bersyukur dan terharu kerana mendapat perhatian Perkeso serta bantuan orang ramai yang menyumbangkan kira-kira RM40,000 untuk melunaskan bil rawatan hospital bapanya di Singapura selepas kisah mereka tular dan mendapat perhatian media pada minggu lalu.

"Alhamdulilah, saya dan ibu, Zainuddin, Mariam Abd Karim, 50, lega dengan pengumuman dibuat Perkeso. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik sudah tentu saya risau dengan bil hospital ayah mencecah SGD24,000.

"Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga untuk membayar bil hospital ayah. Kami merancang untuk serahkan wang sumbangan tersebut kepada pihak yang lebih memerlukan selepas segala urusan selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Perkeso di Rumah Pangsa Taman Megah, di sini pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Pengarah Perkeso Johor,Tong Sing Chuang menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan RM538.23 bagi faedah hilang upaya sementara kepada Nurul Amira.

Sing Chuang berkata, selain faedah pengurusan jenazah, pencen bulanan sebanyak RM1557.70 akan diterima oleh penjaga anak bongsu Allahyarham, Muhammad Aliff Daniel yang kini berusia 12 tahun sehingga mencapai umur 21 tahun.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

"Allahyarham Zainuddin sebagai Orang Berinsuran (OB) layak menerima faedah sebagai pencarum dibawah Akta 4 Keselamatan Sosial 1969 seperti yang diperuntukan didalam akta.

"Ini termasuklah faedah pengurusan jenazah, faedah hilang upaya sementara waktu dan pencen bulanan kepada waris yang layak," katanya.