[VIDEO] Kutipan tidak akan dihentikan selagi Al-Aqsa ‘ditawan’

A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah MyAqsa Defenders sebulat suara untuk meneruskan kutipan sumbangan sehingga Al-Aqsa dibebaskan oleh rejim Zionis.

Pengerusi Serantau Muslim memerangkap ahli gabungan MyAqsa Defenders, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya tidak meletakkan jumlah angka yang tetap untuk dicapai sebaliknya akan meneruskan kutipan selagi ia memerlukan.

“Kutipan sumbangan ini dilakukan sejak serangan rejim Zionis ke atas Palestin awal 2023 dan ia akan diteruskan sehingga Al-Aqsa dibebaskan.

“Untuk maklumat semua, Serantau Muslim dan MyAqsa Defenders mempunyai wakil di lapangan (Gaza) yang ditugaskan untuk menyalurkan bantuan secara terus. Jadi segala sumbangan yang orang ramai berikan tidak akan melalui pihak ketiga.

Mohd Hakim menjadi salah seorang panel yang hadir sempena #QuranHour For Gaza di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Hakim menjadi salah seorang panel yang hadir sempena #QuranHour For Gaza di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Alhamdulillah, sehingga ke hari ini jumlah kutipan sumbangan kesemua NGO gabungan sudah melebihi belasan juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas program #QuranHour For Gaza ‘Kemanusiaan Sejagat’ di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Menerusi program #QuranHour For Gaza, ia mengangkat surah al-Insan yang membawa perbezaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia berlainan kerana tidak dilakukan dalam bentuk demonstrasi, namun dilaksanakan dengan program refleksi bagi menghayati perjuangan sebenar untuk membantu saudara di Palestin.

Mengulas lanjut, Mohd Hakim berkata, beliau bersyukur dengan inisiatif yang dilakukan oleh pihak Kumpulan Karangkraf kerana bersama-sama bersolidariti terhadap nasib rakyat Palestin dengan cara berbeza.

Pengasas Kelab Pesara Muslimah Selangor, Latifah Sidek menyerahkan cek bernilai RM10,000 sumbangan orang ramai kepada CEO MyAqsa Defenders, Aiman Zain. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pengasas Kelab Pesara Muslimah Selangor, Latifah Sidek menyerahkan cek bernilai RM10,000 sumbangan orang ramai kepada CEO MyAqsa Defenders, Aiman Zain. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jelas beliau, menerusi program yang berlangsung selama sejam itu, pihaknya turut bersama-sama melancarkan kutipan sumbangan kepada Palestin.

“Kurang daripada sejam kita dapat kumpulkan sebanyak RM14,921. Sebenarnya kutipan ini merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan sumbangan yang bernilai lebih jutaan ringgit.

“Kita telah menyalurkan sumbangan ini secara berfasa dan ia diserahkan kepada wakil gabungan yang berada di Gaza untuk memastikan bantuan itu dapat dimanfaatkan oleh rakyat Palestin dengan kadar segera,” katanya.

Tambah beliau, sumbangan yang disalurkan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga makanan, kelengkapan perubatan dan generator.