Fertigasi cendawan ubah nasib golongan rentan

Asmadi (kanan) menyempurnakan majlis penyerahan rumah cendawan di Bukit Sekilau.
Asmadi (kanan) menyempurnakan majlis penyerahan rumah cendawan di Bukit Sekilau.
A
A
A

KUANTAN - Tiga individu daripada golongan rentan lorong Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di sini dipilih untuk menguruskan projek tanaman fertigasi cendawan sebagai langkah mengubah nasib komuniti berkenaan.

Projek fertigasi cendawan yang diuruskan sepenuhnya golongan rentan melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dapur Infaq Ummah ini adalah hasil kerjasama Teratak Kasih Solution Enterprise di bawah kelolaan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).

Pengasas pertubuhan itu, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, projek itu sudah bermula Julai lalu, namun penyerahan rumah cendawan kepada pekebun terlibat secara rasmi dilakukan pada Khamis lalu.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 3,000 bongkah akan ditempatkan di rumah cendawan yang terletak di Bukit Sekilau di sini.

"Tiga komuniti rentan ini akan menguruskan rumah cendawan ini. Mereka akan menerima upah antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.

"Kita berpendapat kadar upah itu diberi ini amat bersesuaian dan yakin ia mampu menyuntik semangat untuk mereka terus bekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Projek ini dinamakan Projek Smart Mushroom Farming for Sustainable lifestyle mendapat penajaan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) dan Pusat Keusahawanan Polisas (PUSKEP).

Rumah cendawan yang telah siap sepenuhnya ini telah diserahkan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik Polisas, Rais Rabani Abd Rahman kepada Badrul Jamili dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Rumah Cendawan yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal Dan Operasi), MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Asmadi (dua dari kiri) berharap rumah cendawan ini akan memberi peluang kepada komuniti rentan untuk mengubah nasib mereka.
Asmadi (dua dari kiri) berharap rumah cendawan ini akan memberi peluang kepada komuniti rentan untuk mengubah nasib mereka.

Difahamkan rumah cendawan berkeluasan 20x30 kaki persegi siap dibina di atas tanah kelolaan Dapur Infaq Ummah mampu menempatkan kira-kira 6,000 bongkah cendawan.

Badrul Jamili berkata, tanaman cendawan akan dituai kali pertama sekitar November depan.

Katanya, dalam tempoh empat bulan, pihaknya menjangkakan hasil jualan antara RM25,000 hingga RM30,000 untuk musim pertama.

"Jualan cendawan kita akan lakukan di pasar borong seperti yang dilakukan bagi penanaman fertigasi terung sebelum ini.

"Malah, hasil cendawan ini dapat menghasilkan pelbagai produk dan menu makanan," katanya

Ditanya mengenai rumah cendawan yang dihasilkan oleh Polisas, Badrul Jamili berkata, rumah cendawan ini turut dilengkapi dengan sistem kawalan automatik menggunakan teknologi Internet of Things (IoT).

Ujarnya, teknologi itu membantu memantau dan mengawal persekitaran rumah cendawan agar dapat mengekalkan suhu dan kelembapan yang optimum.

"Penggunaan tenaga solar sebagai sumber boleh diperbaharui bagi menjamin kelestarian alam akan digunakan dalam projek ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!