Maqis rampas sosej babi sejuk beku di LTAPP

Pegawai penguatkuasa Maqis menunjukkan sosej babi yang cuba dibawa masuk oleh lelaki warga Sweden.
Pegawai penguatkuasa Maqis menunjukkan sosej babi yang cuba dibawa masuk oleh lelaki warga Sweden.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sebuah bungkusan mengandungi sosej babi sejuk beku tanpa import permit seberat 10 kilogram (kg) yang cuba dibawa masuk ke negara ini petang semalam.

Lelaki warga Sweden berusia 30-an itu ditahan di laluan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 2.30 petang dan dikatakan baru tiba ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Qatar.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, larangan pengimportan daging babi dan produk yang berasaskan babi melalui laluan udara dilarang sama sekali.

Menurutnya, tindakan itu kerana virus Demam Babi Afrika (ASF) amat mudah merebak walaupun dengan kuantiti yang sangat sedikit.

"Antara produk-produk yang diklasifikasikan sebagai pembawa virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej babi dan apa-apa jenis produk babi yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zarina berkata, pihaknya turut menahan seorang penumpang warga Thailand yang membawa masuk tempurung kelapa seberat 5kg yang dipercayai untuk tujuan membuat barangan hiasan.

Tempurung kelapa yang cuba dibawa masuk di LTAPP.
Tempurung kelapa yang cuba dibawa masuk di LTAPP.

Katanya, kemasukan tempurung kelapa itu juga dibawa tanpa import permit daripada Jabatan Maqis dan juga sijil fitosanitasi.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan mengimport sosej babi dan tempurung kelapa tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya," katanya.

Katanya, Maqis sentiasa memastikan kemasukan keluaran pertanian ke dalam negara adalah terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman penyakit dan serangga perosak selain memastikan ianya adalah selamat untuk kegunaan dalam negara.