'Abdul Hadi hari ini cakap lain, esok cakap lain' - Nik Nazmi

Nik Nazmi, Abdul Hadi
Nik Nazmi, Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat tidak konsisten dalam tindakannya apabila mengarahkan ahli parti itu menarik undi bukan Islam melalui ucapannya di Muktamar Tahunan Pas.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan Ahli Parlimen Marang itu disifatkan tidak ubah seperti 'hari ini cakap lain, esok cakap lain'.

"Membaca 'amanat' terbaru Abdul Hadi mengingatkan saya mengenai tohmahan beliau terhadap pengundi bukan Melayu.

"Ogos tahun lalu, beliau mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera adalah kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

"Nampaknya Abdul Hadi sedang menagih undi kumpulan yang sebelum ini pernah beliau label sebagai perosak negara, sejak dari dulu beliau terkenal dengan sikap tidak konsisten dalam berkempen," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Abdul Hadi dilapor berkata, pihaknya mengakui bedah siasat Pas mendapati mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu, sekali gus tidak mendapat bilangan gabungan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam pada itu Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, semua kaum dan agama perlu dibabitkan dalam proses pembinaan negara demi melihat Malaysia bergerak ke hadapan.

"PKR sebagai parti berbilang kaum tidak pernah melabel mana-mana kaum sebagai perosak negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Perpaduan, ia akan memberikan keyakinan kepada semua pengundi tanpa mengira kaum dan agama untuk terus menyokong kerajaan ini," katanya.