Kenyataan Hadi tidak pamer nilai sebenar Islam - Setiausaha Politik PM

Dari kiri: Ahmad Farhan, Abdul Hadi
Dari kiri: Ahmad Farhan, Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan dikeluarkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-69 pada Jumaat mengenai Kerajaan Madani tidak mencerminkan beliau sebagai seorang agamawan dengan nilai Islam sebenar, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

Ahmad Farhan berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Abdul Hadi yang secara sinis mendakwa seolah-olah kerajaan tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi pemimpin dengan gelaran jelik dan seharusnya sebagai seorang agamawan, beliau perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan.

"Saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Farhan berkata, beliau berharap hal ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut membidas kenyataan Abdul Hadi yang merendahkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang diterajui pemimpin dengan gelaran tertentu yang jelik.

Menurut AMK dalam kenyataan pada Sabtu, gelaran seperti itu bukanlah kali pertama digunakan oleh pemimpin Pas berkenaan, malah ia telah menjadi antara label yang ‘digemari’ untuk digunakan ke atas Perdana Menteri.

"Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmahan dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara.

"Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

AMK turut menasihati Abdul Hadi agar bermuhasabah dan tidak menggunakan tutur bahasa yang penuh hasad dan dengki. - Bernama