'The Penangpreneur Agenda' pupuk inovasi terhadap usahawan

Kon Yeow - Foto Bernama
Kon Yeow - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pulau Pinang sedang merangka agenda ekonomi dikenali sebagai 'The Penangpreneur Agenda' (TPA) yang mencakupi kawasan bandar dan luar bandar dalam usaha memupuk inovasi serta keusahawanan dalam kalangan usahawan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, fokus utama TPA ialah pewujudan pangkalan data keusahawanan atau bank data yang merangkumi maklumat, bantuan geran, program, projek dan inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi pusat atau negeri.

"Kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar (Rashidi Zinol) sedang merangka TPA yang berperanan seperti bank data untuk mengumpul maklumat usahawan bandar dan luar bandar, ia bagi memudahkan kami untuk menyalurkan sebarang maklumat atau bantuan geran kepada usahawan di negeri ini.

"Selain itu, TPA juga membuka peluang kepada rakyat di negeri ini untuk bersama-sama dalam arus peralihan ke arah transformasi digital untuk merebut peluang kerjaya baharu dalam bidang keusahawanan untuk dijadikan sebagai kerjaya kedua," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Jiwa SME di Aeon Bukit Mertajam, Alma di sini yang turut dihadiri Rashidi.

Jelajah Jiwa SME di Pulau Pinang merupakan siri jelajah yang keempat selepas Sabah, Johor dan Kelantan bertujuan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani era digital.

Program itu ialah sebuah acara yang menggabungkan sesi perkongsian daripada pakar industri, usahawan PMKS, bengkel ilmu dan pameran berserta jualan produk tempatan menerusi reruai yang menawarkan perkhidmatan kepada para usahawan dan pengunjung.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar telah mewujudkan agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Digital Penang dalam mendepani era digitalisasi dalam usaha menjadikan negeri itu yang mahir dalam teknologi digital serta bersedia untuk masa depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, melalui Pelan Induk Transformasi Pulau Pinang, matlamat utama kerajaan negeri adalah untuk mengukuhkan tonggak tadbir urus, ekonomi, komuniti dan infrastruktur.

"Sejajar dengan agenda negeri pintar Pulau Pinang dengan tema 'data is king, talent is everything', kerajaan negeri sentiasa komited dalam mewujudkan progam berkonsepkan literasi digital," katanya.

Sementara itu, Rashidi berkata, pihaknya telah turun ke lapangan untuk mengumpul maklumat berkaitan usahawan di bandar dan luar bandar, dan TPA itu dijangka selesai sepenuhnya awal tahun depan.

Beliau berkata, TPA itu juga antara lain bertujuan memastikan usahawan terutama mereka yang baru menceburi bidang berkenaan dapat terus mengembangkan perniagaan dan memasarkan produk mereka dengan menerima bantuan serta kursus daripada pihak berkaitan.

"Selain itu, kita kumpul data mereka supaya bukan hanya usahawan tertentu mendapat bantuan atau geran, sebaliknya semua (usahawan) yang ada turut dapat, jadi TPA dapat salurkan maklumat kepada mereka.

"Bantuan, pinjaman atau geran itu bukan sahaja daripada kerajaan pusat, malah kerajaan negeri juga sebagai contoh pelaksanaan Skim Pinjaman Harapan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berjumlah RM22 juta telah disalurkan sebagai pemudah cara antara agensi yang menawarkan skim pinjaman dan bantuan perniagaan kepada usahawan tempatan," katanya. - Bernama