Syarikat jaga kepentingan bumiputera lemah - Pakar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azlan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan syarikat yang menjaga kepentingan bumiputera lemah dalam pengurusan dan tatakelola hingga mengalami kerugian besar.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, antaranya kebergantungan tinggi syarikat berkenaan kepada kerajaan.

Katanya, ini kerana wujud mentaliti kerajaan akan tetap membantu sekiranya berdepan dengan sebarang masalah seperti kewangan dan kerugian.

“Ia menjadikan syarikat berkenaan lebih cenderung untuk membuat keputusan atau melaksanakan projek berisiko tinggi dengan mengabaikan kesan buruk kerana mengetahui kerajaan akan bantu untuk mengelak persepsi negatif.

“Selain itu konflik antara prinsipal dan ejen juga menjadi punca perkara itu berlaku. Contohnya, pengusaha (ejen) gagal atau secara sengaja tidak mengikuti kehendak sasaran keberhasilan pemilik (prinsipal atau pihak berkepentingan), terjadi disebabkan oleh kepentingan peribadi atau maklumat tidak simetri,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat yang menjaga kepentingan bumiputera supaya tidak mengkhianati amanah diletakkan dalam menjaga kepentingan golongan itu.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan pernah berdepan ‘pengalaman buruk’ kerana terpaksa memberi suntikan tambahan kepada syarikat berkaitan akibat tadbir urus yang lemah bagi menyelamatkan pegangan bumiputera.

Tambah Mohd Azlan, kesan daripada maklumat tidak simetri, ia secara tidak langsung menjadikan majikan mudah terjebak dengan masalah pemilihan pekerja tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, masalah akan menjadi bertambah buruk jika unsur nepotism wujud dalam pemilihan tersebut.

“Impak maklumat tidak sempurna ini akan terjadinya masalah moral yang mana mereka tidak dapat melaksanakan tugas yang selari dengan kehendak majikan sehingga memberi kesan negatif kepada syarikat.

“Agak sukar mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh terdekat kerana sudah berakar umbi terlalu lama,” katanya.

Jelasnya, bagi menangani isu tersebut, ketua atau pemimpin syarikat perlu dipilih dalam kalangan mereka yang terbukti pencapaian dalam pendidikan dan tidak mempunyai kepentingan peribadi termasuk politik.

“Syarikat wajar bersikap profesional, telus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kerajaan,” tegasnya.