Guru, anak terkandas di pulau, stok makanan terputus kerana ribut
BESUT - Berjauhan dengan keluarga serta menghadapi pelbagai risiko termasuk berdepan cuaca buruk ketika musim tengkujuh antara cabaran perlu dihadapi seorang guru wanita dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian dalam mendidik anak bangsa.
Hasnida Awang, 47, berkata, cabaran tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendidik anak pulau itu sehingga berjaya memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun sukan biarpun perlu berkorban dari segi tenaga, masa dan wang ringgit.
“Banyak cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang pendidik yang bertugas di pulau antaranya berdepan dengan gelombang serta ombak besar ketika monsun malah kadang-kadang berlaku bekalan air dan elektrik terputus di pulau.
“Saya juga hadapi risiko dari segi keselamatan dalam perjalanan di mana dikhuatiri bot rosak dan terbalik. Saya pernah menempuh ombak sehingga tiga meter dengan membawa anak bongsu yang masih kecil dengan menaiki bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada hujung bulan Disember susulan gelombang besar dan cuaca buruk berlaku ketika itu.
“Selain itu, saya kena mengeluarkan belanja lebih sekiranya ingin pergi dari pulau ke daratan atas pelbagai urusan seperti mesyuarat, kursus serta pulang ke rumah keluarga memandangkan kos tambang mencecah RM70 bagi setiap seorang untuk perjalanan pergi dan balik,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu kepada enam anak itu berkata, dia terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak yang kini menetap di Kuala Terengganu.
“Saya menetap di kuarters guru di Pulau Perhentian ini bersama anak bongsu yang berusia 10 tahun.
“Suami pula melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara sendirian dengan menguruskan anak-anak lain di Kuala Terengganu.
“Setiap dua minggu sekali saya akan balik ke rumah keluarga di Kuala Terengganu untuk bertemu dengan suami dan anak-anak. Memang perlu pengorbanan besar namun sebagai guru, kita perlu laksanakan tugas itu dengan ikhlas dan baik meskipun berdepan cabaran fizikal dan mental,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan, Hasnida yang mengajar mata pelajaran Sains berkata, dia pernah terkandas di pulau tersebut dengan hanya berbekalkan stok makanan yang terhad di rumah semasa musim tengkujuh.
“Kejadian berlaku pada tahun 2017 di mana saya sepatutnya pulang pada hari Khamis namun disebabkan perlu selesaikan tugas di sekolah sebelum cuti panjang bermula maka saya tunda untuk balik pada hari kejadian.
“Namun tidak menyangka bahawa keesokan harinya berlaku ribut dan kejadian ombak besar sehingga tiada bot pergi ke daratan sekali gus menyebabkan saya terkandas di pulau dan tidak boleh pulang ke daratan.
“Jadi saya perlu bertahan dengan sisa dan bekalan makanan terhad yang ada di rumah selama seminggu.
“Ditambah pula, ketika itu anak bongsu saya turut ada bersama maka sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan tentang soal kesihatan dan keselamatan anak semasa kejadian.
“Pengalaman tersebut sangat tidak boleh dilupakan sepanjang saya berkhidmat sebagai guru kerana ketika itu kehabisan stok makanan di rumah,” ceritanya.
Bagaimanapun, Hasnida berkata, segala cabaran dihadapi ketika bertugas di pulau dianggap sebagai pengalaman bermakna dalam hidupnya sepanjang berkhidmat sebagai guru.
“Saya mengajar di sini selama 10 tahun dan ramai bekas murid saya sudah berjaya dalam pendidikan selain ada yang mewakili Terengganu sehingga peringkat kebangsaan dalam bidang sukan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!