‘Ini bukan bilik tapi sangkar haiwan‘

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas sepuluh hari pendedahan Sinar Harian berhubung bilik sewa sempit seperti sangkar burung di Lembah Klang, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pasukan polis bertindak menyerbu premis tersebut pada Khamis.

Serbuan yang diketuai oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk TS Nor Hisham Mohammad itu dilakukan pada jam 1 petang untuk memeriksa sendiri bangunan kedai yang didapati menyalahi undang-undang kerana mengubah suai premis dengan menempatkan 38 bilik sewa kapsul di Cheras.

Operasi khas ke atas premis bagi menghapus bahaya kebakaran (MBK) itu dimulakan dengan sesi taklimat di Balai Bomba dan Penyelamat Pudu sekitar jam 12 tengah hari sebelum konvoi menteri bersama bomba dan beberapa pengamal media tiba di lokasi satu jam kemudian. Pemeriksaan premis itu dimulakan di tingkat dua yang menempatkan sebuah bilik kotor dan sempit sehingga menimbulkan keadaan berbahaya kepada penyewa.

Sejurus masuk ke bilik tersebut, Kor Ming yang juga ahli Parlimen Teluk Intan terpaksa berengsot ke dinding kerana terlalu sempit sambil menahan bau busuk menusuk hidung.

Kor Ming terpaksa rapat ke dinding kerana bilik tersebut terlalu sempit sambil menahan bau busuk yang menusuk hidung. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kor Ming terpaksa rapat ke dinding kerana bilik tersebut terlalu sempit sambil menahan bau busuk yang menusuk hidung. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Saya dapati bilik ini sangat berbahaya dan tidak berperikemanusiaan. Saya juga tidak boleh menahan bau bilik yang busuk. Perkara paling membimbangkan ialah sistem pengudaraan yang lemah.

“Terdapat hanya satu lubang kecil sebagai sistem pengudaraan di dalam bilik.

“Bayangkan jika asap masuk ke dalam bilik dan penghuni terperangkap di sini? Bagaimana mereka mahu menyelamatkan diri?” katanya kepada Sinar Premium.

Artikel Berkaitan:

Selepas habis meninjau keadaan di tingkat dua, menteri bersama beberapa pengamal media menuju ke tingkat satu pula untuk melihat bilik yang lebih teruk dan sempit.

Terkejut dan tidak masuk akal, begitulah luahan Kor Ming yang cuba untuk membuka dan masuk sendiri ke dalam bilik kapsul berkeluasan kira-kira 35 kaki persegi itu.

“Ini bukan bilik sewa tetapi sebuah sangkar yang hanya layak diduduki oleh binatang. Ini bukan soal keselamatan sahaja, ini adalah soal berperikemanusiaan yang wajib dipandang serius.

“Oleh itu, tindakan segera akan diambil untuk memastikan Kerajaan Madani tidak berkompromi dengan isu ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba JBPM, Muhammad Salleh Abdul berkata, premis seperti itu tidak patut diubah suai sehingga merisikokan keselamatan penyewa jika berlaku kecemasan.

Muhammad Salleh
Muhammad Salleh

“Saya amat sedih melihat suasana bilik sangkar burung ini kerana ia langsung tidak selamat untuk didiami dan tidak mempunyai kemudahan keselamatan asas yang sepatutnya.

“Peluang untuk melepaskan diri sekiranya terperangkap di dalam kediaman ini amat tipis.

“Saya tidak menyangka bahawa adanya keadaan seperti ini di negara kita. Tuan rumah sepatutnya lebih mengutamakan keselamatan penyewa,” katanya.

Serbuan yang tamat kira-kira jam 2 petang itu diakhiri dengan tindakan susulan bomba mengeluarkan notis menghapuskan bahaya kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta 341 agar risiko kebakaran dapat dipelihara.

Bagaimanapun semasa operasi dijalankan, tiada penghuni ditemui dan dipercayai mereka keluar bekerja.

Tinjauan dan penyamaran wartawan Sinar Harian dalam edisi laporan khas Bilik Sewa Sangkar Burung pada 10 Oktober lalu mendedahkan kewujudan bilik sewa kapsul di Lembah Klang yang sangat sempit tetapi dikenakan sewa bermula RM300 sebulan.

Premis rumah kedai diubah suai untuk menempatkan 38 bilik kapsul yang terlalu sempit dan rendah sehingga penghuni tidak boleh berdiri langsung. Mereka hanya boleh tidur dan duduk berlunjur.

Di Shah Alam pula, bilik yang terlalu sempit memaksa penghuni menunaikan solat di atas katil.

Ia menjadi pilihan kerana kos sara hidup yang tinggi di Lembah Klang ditambah pendapatan bulanan yang tidak seberapa, menyebabkan golongan seperti penghantar makanan dan pelajar institusi pengajian tinggi swasta terus menyewa di situ.

KRONOLOGI PENDEDAHAN BILIK SANGKAR BURUNG

10 Oktober

Sinar Harian mendedahkan kewujudan bilik sewa kapsul di Lembah Klang yang sangat sempit yang mengenakan sewa bermula RM300 sebulan.

11 Oktober

Sinar Harian dalam laporan muka depannya melaporkan pelbagai pihak melahirkan kebimbangan Malaysia mungkin menjadi Hong Kong kedua jika masalah berkenaan tidak diatasi memandangkan bilik sewa liang lahad ini tumbuh bak cendawan selepas hujan di negara ini.

16 Oktober

Menteri KPKT, Nga Kor Ming memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis sangkar burung atau liang lahad sekiranya mereka tidak mengubahnya kembali kepada bentuk asal.

19 Oktober

Kor Ming, DBKL dan bomba menyerbu sebuah premis yang menyediakan 38 bilik kapsul di Cheras, Kuala Lumpur, selain KPKT mengarahkan semua PBT di seluruh negara mengambil tindakan serupa.