Air bertakung sebabkan aliran trafik di ibu kota bergerak perlahan

Keadaan air bertakung di beberapa jalan di ibu kota pada petang Khamis.
Keadaan air bertakung di beberapa jalan di ibu kota pada petang Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa jalan di ibu kota bergerak perlahan susulan kejadian banjir kilat dan air bertakung pada petang Khamis.

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi kemas kini di Facebook memaparkan keadaan beberapa jalan dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan.

Menerusi perkongsian tersebut, dilaporkan sebanyak 12 lokasi terjejas susulan hujan lebat sekitar jam 5 petang.

"Antara lokasi terlibat ialah Jalan Kinabalu, Jalan Pahang, Jalan Ampang, Jalan Pudu, Jalan Melaka, Jalan Parlimen dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

"Turut terjejas ialah Jalan Cheras, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Damansara, Jalan Bangsar dan Jalan Syed Putra," menurut perkongsian tersebut.

Selain masalah jerebu, keadaan cuaca di Lembah Klang antara satu dua minggu ini mengalami hujan lebat pada waktu petang.

Pada Rabu, media turut melaporkan beberapa kejadian banjir kilat berlaku termasuk di Zoo Negara yang menyebabkan kejadian seekor capybara terlepas keluar, namun berjaya diselamatkan setengah jam kemudian.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh sebelum ini telah mengarahkan kerja pembersihan dipertingkatkan selepas mendapati 'scupper drain' terhalang dengan daun kering dan sampah.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta jabatan terlibat melihat segera keperluan menaik taraf sistem perparitan sedia ada dan turut memastikan agar pam-pam air di rumah pam sentiasa berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan setakat jam 6 petang, Khamis pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian banjir kilat dan pokok tumbang.