Persimpangan bertingkat Alam Damai dibuka tengah malam ini - Prolintas

Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam ini. - Gambar Prolintas SUKE
Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam ini. - Gambar Prolintas SUKE
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persimpangan Bertingkat Alam Damai di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dibuka kepada pengguna bermula 12.01 tengah malam ini.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan kutipan tol di susur keluar dan masuk di Persimpangan Bertingkat Alam Damai akan berkuat kuasa serentak dengan pembukaan laluan itu.

Menurut kenyataan itu persimpangan bertingkat sepanjang 1.5 kilometer (km) berkenaan dibina dengan akses secara terus antara jajaran utama Lebuhraya SUKE dan Jalan Alam Damai bagi memberikan kemudahan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Sri Petaling dan Ulu Kelang untuk ke kawasan Alam Damai atau sebaliknya.

"Pembukaan Persimpangan Bertingkat Alam Damai ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Alam Damai, Taman Connaught, Taman Len Seng, Taman Bukit Anggerik dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Selain itu, ia turut menambah baik kesalinghubungan ke beberapa lokasi strategik seperti Ampang, pusat bandar raya Kuala Lumpur, Sungai Besi dan Bukit Jalil sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) atau Jalan Loke Yew yang sering berlaku kesesakan pada waktu puncak.

Prolintas memaklumkan Persimpangan Bertingkat Alam Damai itu adalah bahagian terakhir dibuka di Lebuhraya SUKE sekali gus menjadi pelengkap kepada keseluruhan jajaran lebuh raya berkenaan.

Fasa 1 dan Fasa 2 Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km melibatkan jajaran utama dari Persimpangan Sri Petaling hingga Persimpangan Bukit Antarabangsa, masing-masing telah dibuka kepada pengguna pada 16 Sept 2022 dan 16 Jun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: