Selangor lokasi terbaik cipta pelaburan di Asia Tenggara

Amirudin meninjau ruang pameran yang terdapat di SIBS 2023 yang bakal berlangsung hingga Ahad ini.
Amirudin meninjau ruang pameran yang terdapat di SIBS 2023 yang bakal berlangsung hingga Ahad ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selangor merupakan lokasi terbaik untuk membuat pelaburan di Asia Tenggara susulan kemudahan dan prasarana serba lengkap di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia dibuktikan dengan Selangor merupakan antara 12 pelabuhan yang tersibuk di dunia.

Selain itu katanya, tiada negeri yang mempunyai dua lapangan terbang utama termasuk Subang yang akan dilakukan pembesaran.

"Daripada 240 syarikat aeroangkasa di Malaysia, tidak ada negeri lain yang mempunyai 62 peratus industri aeroangkasa dalam sempadan mereka dan tiada negeri lain yang mempunyai jaringan pengangkutan jalan raya dan lebuh raya, bas dan kereta api lebih baik berbanding Selangor

"Tiada juga negeri yang menyumbang 25.5 peratus dalam ekonomi nasional selain memiliki gabungan industri yang baik daripada pembuatan sama ada dalam bidang automotif, elektrik dan elektronik atau logistik mahupun farmaseutikal," katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Amirudin berkata, Selangor juga memberikan jaminan kestabilan dan keselamatan pertumbuhan pelaburan menerusi langkah proaktif dilakukan.

Tambahnya, Selangor turut memiliki kemudahan universiti yang menawarkan masa depan cerah dengan bukan hanya rakyat Selangor menerima manfaat daripada pembangunan Selangor malah turut menjadi destinasi rakyat negeri lain untuk membina kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berucap pada majlis perasmian pembukaan SIBS 2023 di KLCC pada Khamis.
Amirudin berucap pada majlis perasmian pembukaan SIBS 2023 di KLCC pada Khamis.

"Dengan itu, Selangor memberi jaminan mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang disediakan oleh pelabur.

"Dengan penjelasan kukuh ini, saya berharap dapat memberi keyakinan menarik pelabur ke Selangor.

"Ini bukan sekadar cakap kosong sebaliknya kerajaan negeri telah berusaha keras untuk menarik pelabur asing ke Selangor," katanya.

Mengulas lanjut katanya, pada Rabu, pihaknya telah merasmikan pusat pengedaran global terbesar Daiso Jepun yang akan dibina di Pulau Indah, Selangor.

"Begitu juga, syarikat lain seperti Toyota, Texas Instruments, Wistron, Airbus, Aerodyne dan ALP yang telah memainkan peranan penting dalam ekonomi Selangor berkembang sebanyak 11.9 peratus pada 2022, mengatasi pertumbuhan negara sebanyak 3.2 peratus," katanya.

Ujarnya, bagi memastikan usaha berterusan, kerajaan negeri menerusi Invest Selangor, ketua jabatan dan pihak berkuasa tempatan berusaha gigih mencapai sasaran Selangor sebagai pilihan pertama pelaburselain menarik pekerjaan dari luar negara ke Selangor.

"Mereka menghubungkan pelabur asing dengan perusahaan kecil dan sederhana di Selangor untuk terus dimasukkan dalam rantaian bekalan global.

"Kami juga mahukan pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan industri semasa yang telah kami kenal pasti sama ada dalam pengangkutan awam atau penyelesaian perubahan iklim, pembuatan berkualiti tinggi terutamanya menggunakan automasi, bidang baharu dalam bioteknologi dan farmaseutikal untuk persediaan menghadapi endemik atau wabak seterusnya, " katanya.