Kerajaan arah bilik sewa sangkar burung dirobohkan

Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan pada Khamis mengeluarkan notis kepada sebuah premis bilik sewa sempit umpama 'sangkar burung' di ibu negara untuk mengosongkan dan merobohkan bilik sewa kapsul yang diubah suai itu dalam tempoh tujuh hari.

Notis itu dikeluarkan susulan serbuan ke atas premis berkenaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diketuai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Notis berkenaan dikeluarkan DBKL kerana pemilik didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID



Kor Ming mengesahkan pengubahsuaian yang dilakukan pemilik premis itu tidak mendapat kelulusan DBKL.

"Serbuan ini mendapati banyak kesalahan yang dilakukan pemilik premis bukan sahaja dari segi Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) tetapi juga menyalahi Sekyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Unit Kawalan Bangunan DBKL sudah dikehendaki mengambil tindakan segera (keluarkan notis arah perobohan 'partition')," katanya pada sidang akhbar selepas serbuan di Taman Maluri, Cheras itu.

Sinar Harian pada 10 Oktober lalu membongkar kewujudan bilik sewa kapsul tidak ubah seperti 'sangkar burung' atau 'liang lahad' yang disewakan RM300 sebulan walaupun hanya boleh memuatkan sebuah tilam.

Artikel Berkaitan:

Bilik sewa sempit seumpama itu yang mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan semakin bertambah di Lembah Klang ekoran kos sara hidup tinggi di bandar selain sikap tamak pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.

Menerusi undang-undang DBKL, jika tiada apa-apa tindakan dilakukan pemilik, difahamkan kerja-kerja perobohan akan dibuat (oleh pihak berkuasa tempatan).

No Image Caption



Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, JPBM pula mengeluarkan notis menghapuskan bahaya kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) kerana premis didapati telah diubah suai kepada kediaman komersial tanpa dilengkapi dengan apa-apa kelengkapan menentang kebakaran atau pelepasan keselamatan kebakaran sebagaimana dikehendaki undang-undang.

Menurutnya, tindakan di bawah Seksyen 10 Akta 341 boleh diambil kepada pemilik premis dan jika ia gagal dipatuhi, pemilik akan berdepan tindakan pendakwaan di mahkamah.

"Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 10 akta ini, pemilik boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya selain boleh juga dikenalan denda tambahan sebanyak RM100 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Beliau memaklumkan, daripada serbuan itu didapati pemilik premis sanggup mempertaruhkan keselamatan dan nyawa orang lain demi mengaut keuntungan daripada penyewa yang memerlukan tempat tinggal kos rendah.

"Pemilik premis hanya membekalkan penyewa dengan sekeping tilam nipis, bantal lapuk, sebiji mentol dan satu 'plug point' dan bilik sekangkang kera.

"Bilik ini juga tiada sistem pengudaraan yang baik kerana tidak bertingkap. Hanya ada satu bilik air dan satu tandas yang tahap kebersihannya sangat meragukan untuk dikongsikan dengan 20 penyewa lain.

"Semua ini boleh mengundang kepada penularan penyakit berjangkit," tambah beliau.

Katanya, ekoran keadaan itu, penyewa-penyewa premis berkenaan tidak mempunyai jalan keluar yang mencukupi untuk menyelamatkan diri.

Beliau menambah, tafsiran bahaya kebakaran menurut Seksyen 2 (a) Akta 341 adalah apa-apa pengubahan yang menyalahi undang-undang pada mana-mana bahagian bangunan yang mungkin menjadi pelepasan diri dari mana-mana bahagiannya menjadi lebih sukar daripada yang sepatutnya sekiranya berlaku kebakaran.

"Seksyen 2(e) Akta 341 menetapkan bahawa bahaya kebakaran juga merujuk kepada jalan keluar yang tidak mencukupi dari mana-mana bahagian sesuatu bangunan untuk memberi perlindungan kepada penghuni atau orang sekiranya berlaku kebakaran," jelasnya.