DMDI beri kesedaran orang ramai tentang konflik Palestin

Mohd Ridhwan (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada tabung Palestin kepada wakil DMDI dan diperhatikan Mohd Ali (lima dari kiri).
Mohd Ridhwan (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada tabung Palestin kepada wakil DMDI dan diperhatikan Mohd Ali (lima dari kiri).
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan menggunakan pelbagai medium termasuk menganjurkan pelbagai wacana ilmu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai konflik yang sedang berlaku di Palestin.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, ini penting untuk mendidik masyarakat mengetahui kebenaran yang berlaku agar isu kemanusiaan ini dapat dipertahankan bersama.

"Kita juga menggesa agar bantuan seperti kesihatan, makanan, pakaian, dan lain-lain dibenarkan masuk ke Gaza dan seluruh Palestin tanpa sekatan.

"Harap diwujudkan zon selamat atau koridor kemanusiaan supaya warga Palestin dapat menyelamatkan diri," katanya selepas Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di Universiti Geomatika Malaysia (GUC), Bangunan Yayasan Belia Dunia, Ayer Keroh pada petang Rabu.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) berkata, DMDI dan beberapa persatuan belia bergabung bagi mengusulkan sembilan resolusi menuntut hak rakyat Palestin untuk diusulkan menerusi persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Mohd Ridhwan dan Mohd Ali (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa di Bangunan Yayasan Belia Dunia, Ayer Keroh pada petang Rabu.
Mohd Ridhwan dan Mohd Ali (tengah) bersama sebahagian peserta yang menyertai Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa di Bangunan Yayasan Belia Dunia, Ayer Keroh pada petang Rabu.

Menurutnya, DMDI memandang serius di atas isu pencabulan hak dan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin dan berharap resolusi yang dipersembahkan itu mampu menuntut hak rakyat yang tidak bersalah di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sembilan resolusi itu termasuk menghentikan peperangan; mengutuk serangan kejam yang tidak berperikemanusiaan; mengutuk sokongan negara barat; usaha pembebasan Masjid al-Aqsa; Menggesa agar PBB, OIC dan Pertubuhan Lapan Negara Membangun (D-8) memainkan peranan untuk memberikan tekanan agar peperangan berhenti dan seterusnya membawa penjenayah perang Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Resolusi ini akan dihantar secara maya menerusi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur oleh wakil Malaysia untuk dipersembahkan dalam persidangan OIC di Jeddah, Arab Saudi," katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, DMDI juga berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM50,000 untuk disumbangkan kepada negara Palestin dalam masa terdekat.