Calon lama tarik diri, beri laluan orang muda

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika menyempurnakan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di Kuala Nerus, pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika menyempurnakan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di Kuala Nerus, pada Selasa.
A
A
A

KUALA NERUS - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan terdapat calon lama yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan latar belakang calon berkenaan dan memberitahu ia masih dalam pertimbangan kepimpinan tertinggi parti.

"Ada di sesetengah tempat, saya tak boleh sebutlah di mana tapi calon yang dah jadi ADUN menawarkan untuk tidak bertanding bagi memberi ruang kepada muka-muka baharu.

"Bagi saya ia adalah sesuatu yang unik sebab di sesetengah tempat orang duduk berebut-rebut nak jadi calon. Syukurlah kita di Terengganu wujud budaya yang lebih harmoni," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan calon muka baharu dan muka lama pada PRN kali ini.

Namun, katanya, setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan akan diputuskan tidak lama lagi.

"Saya sendiri pun tak tahu (sama ada dicalonkan ke tak) walaupun saya Naib Presiden Parti.

"Apa yang penting kita masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menang besar dan mentadbir dengan penuh yakin," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan sepanjang tempoh mentadbir Terengganu.

"Ahli-ahli MMKN kita cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan portfolio yang dipegang serta tahu bagaimana bekerja sebagai sebuah pasukan," ujar Menteri Besar Terengganu itu.

Sebelum ini, DUN Terengganu bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar pada 28 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.