Peniaga kecil dakwa festival makanan terlalu kerap jejas pendapatan

Penganjuran festival makanan yang didakwa terlalu kerap menimbulkan keresahan peniaga kecil di Temerloh. - Gambar hiasan
Penganjuran festival makanan yang didakwa terlalu kerap menimbulkan keresahan peniaga kecil di Temerloh. - Gambar hiasan
A
A
A

TEMERLOH - Penganjuran pelbagai festival makanan yang terlalu kerap sejak kebelakangan ini meresahkan peniaga-peniaga kecil di sini yang mendakwa hasil jualan mereka merudum.

Situasi itu makin menghimpit mereka selepas jumlah pelanggan dan jualan juga merosot khususnya pada tahun ini susulan kenaikan harga barang.

Malah ada yang mendakwa jualan mereka merosot hingga 80 peratus setiap kali festival sebegitu diadakan di daerah itu hingga ada terpaksa menggadaikan barang kemas dan memberhentikan pekerja kerana terpaksa berdepan banyak kerugian.

Rata-rata ditemui berharap pihak terbabit mendengar keluhan mereka dan berharap penganjurannya dapat dihadkan.

Peniaga, Asiah Malek, 37, yang beroperasi di Jalan Tengku Ismail, di sini mendakwa penganjuran festival berkenaan banyak memberikan kesan kepada peniaga sepertinya.

"Memang jumlah pelanggan yang hadir ketara menurun bila ada festival secara kerap, macam saya sendiri banyak dikunjungi pelanggan luar Pahang yang datang bercuti hujung minggu khususnya.

"Dulu saya terima banyak tempahan khususnya ikan patin tempoyak, boleh kata tiap minggu tambah bekalan kini tidak lagi disebabkan pelanggan mungkin tertarik nak pergi ke festival makanan," dakwa wanita tersebut.

Selain premisnya, dakwa Asiah lima lagi premis makanan yang turut berada di lokasi sama turut terjejas akibat situasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain kedai, restoran, turut terjejas car boot sale Temerloh serta pasar karat yang sebelum ini terkenal dengan kemeriahan sehingga menjadi tarikan pengunjung luar dan dalam Temerloh selama ini

Penganjurnya yang lebih dikenali Along, 38, mendakwa, penganjuran festival secara kerap menjejaskan lebih 100 peniaga kecil khususnya makanan di tapak tersebut.

"Memang lain macam penangan festival sebegini, kalau dulu keadaan di tapak car boot sale di sini sangat meriah dipenuhi pengunjung dari dan luar Temerloh, kini lengang, jam 10 malam pun dah ada peniaga tutup jualan sebab kurang pelanggan.

"Banyak hasil jualan khususnya makanan tidak habis menyebabkan banyak kerugian terpaksa dialami oleh mereka.

"Kita tidak menghalang penganjuran festival ini tapi biarlah secara berkala, bukan kerap macam sekarang," jelas beliau tapak itu sudah beroperasi lebih 10 tahun.

Bagi pengusaha restoran, Normazlifah Abdul Malik, 44, pula mahu pihak berkaitan seharusnya tidak hanya fokus pada festival makanan semata-mata untuk dijadikan tarikan di Temerloh.

"Banyak lagi aktiviti lain yang boleh dijadikan sebagai tarikan untuk orang ramai datang ke Temerloh.

"Selain itu, berikan peluang kepada peniaga kecil tempatan untuk turut sama terlibat, atau senang kata, situasi menang-menang," tegasnya.

Dakwanya lagi, beliau mengambil keputusan menutup operasi perniagaan buat sementara waktu untuk mengelakkan kerugian lebih besar.

Dalam pada itu, seorang peniaga sushi, Mohamad Roslan Din, 36, berkata, banyak jualan produknya tidak habis terjual setiap kali festival itu diadakan berbanding sebelum ini.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang, situasi ini memang menekan peniaga kecil seperti kami.

"Sekarang pun banyak premis, kedai di daerah ini tutup operasi malah yang sudah ada nama pun alami situasi sama," dakwa Roslan lagi.