RM125,000 pinjaman bank lesap, jururawat terpedaya Love Scam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang jururawat wanita kerugian RM125,000 akibat terpedaya dengan penipuan 'love scam' seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berumur 30-an yang juga seorang ibu tunggal itu berkenalan dengan suspek bernama Nor Azman Umar pada 29 September lepas dan berhubung melalui telefon.

"Pengadu yang juga bekerja di hospital kerajaan itu dimaklumkan suspek bahawa dia akan menerima hadiah kejutan sebagai tanda persahabatan.

"Wanita itu kemudiannya menerima panggilan daripada pihak kurier pada 8 Oktober menyatakan terdapat bungkusan kotak yang dikirim oleh kenalan bernama Azman kepada pengadu,” katanya dalam satu kenyatanan di sini pada Rabu.

Arshad berkata, pengadu kemudiannya diarah untuk membuat pelbagai pembayaran pelepasan barangan seperti bayaran guaman, duti stem, cagaran dan kastam.

Katanya, dalam tempoh 8 Oktober sehingga 15 Oktober, pengadu membuat pinjaman peribadi daripada bank selain membuat 12 transaksi pembayaran berperingkat berjumlah RM125,000 ke dalam empat akaun bank berbeza.

"Setelah membuat pembayaran tersebut, pengadu masih tidak terima bungkusan yang dijanjikan malah diminta untuk membuat bayaran tambahan menyebabkan mangsa menyedari dirinya telah ditipu.

"Wanita itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada daripada menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ dan meminta agar mana-mana pihak segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 untuk tindakan pantas menyekat wang yang diserahkan kepada sindiket penipuan. - Bernama