'Hampir setiap jam hubungi keluarga di Palestin'

Pekan kawasan rumah Hamza yang ranap di Rimal sejak konflik Palestin-Israel berlaku lebih seminggu lalu.
Pekan kawasan rumah Hamza yang ranap di Rimal sejak konflik Palestin-Israel berlaku lebih seminggu lalu.
A
A
A

SINTOK - Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merupakan warganegara Palestin mengakui sering memikirkan keselamatan keluarganya sejak konflik Palestin-Israel tercetus lebih seminggu lalu.

Pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Hamza Nasri M Alifranji, 19, berkata, dia juga sering menghubungi keluarganya beberapa kali sehari untuk mengetahui perkembangan mereka di sana walaupun terpaksa mengambil masa lama untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan ibu bapanya yang tinggal di Rimal.

Hamza Nasri
Hamza Nasri

Menurutnya, kedua ibu bapanya iaitu Nasri M Alifranji, 55, seorang doktor gigi, dan Rima Alrayes, 49, seorang suri rumah serta adik-beradik lain telah keluar dari pangsapuri mereka dan berlindung di kawasan parkir kerana bimbang akan keselamatan diri masing-masing sejak konflik melanda.

"Sejak serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza meletus, hampir setiap jam saya menghubungi keluarga di Palestin untuk bertanyakan perkembangan mereka. Setiap hari saya memikirkan mereka.

"Saya juga terpaksa mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana untuk menghubungi keluarga bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Ujar Hamza, penduduk Gaza juga telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarganya termasuk penduduk lain tidak mahu berpindah kerana enggan peristiwa Nakba berulang.

Menurutnya, Israel pernah menyerang Rimal dalam perang terakhir di Gaza pada 2021, bagaimanapun serangan kali ini lebih berskala besar yang merosakkan banyak harta benda.

Artikel Berkaitan:

Islam berkongsi gambar kenderaan antara yang rosak kesan konflik Palestin-Israel berlaku lebih seminggu lalu di Hebron.
Islam berkongsi gambar kenderaan antara yang rosak kesan konflik Palestin-Israel berlaku lebih seminggu lalu di Hebron.

“Saya berdoa kemelut atau perang yang melanda ini akan berakhir dan rakyat Palestin selamat.

"Saya juga berharap kami dapat membina semula negara ini dan dapat tinggal bersama keluarga masing-masing tanpa sebarang tekanan, takut, kerisauan dan dapat menikmati kehidupan yang aman,” katanya yang telah menyaksikan peperangan meletus sejak berusia empat tahun.

Seorang lagi pelajar Palestin yang menuntut di universiti sama, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, juga pernah terputus hubungan dengan keluarga, namun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik.

Islam Mohammed Hashim Alhadmi
Islam Mohammed Hashim Alhadmi

Jelas pelajar semester lima Sarjana Muda Keusahawanan itu, ibu bapanya meminta agar dia tidak bimbang dan menjaga diri sepanjang berada di Malaysia.

Anak muda dari Hebron ini berkata, tentera Israel pernah memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda di dalamnya.

“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding dengan penduduk di Gaza kerana kawasan didiami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh memasuki mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam.

“Mereka juga pernah memusnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang tindakan mereka,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.