PBB diselar gagal laksana gencatan senjata Palestin-Israel

Mohd Ali (tengah) ketika berucap pada Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di GUC di Bangunan Yayasan Belia Dunia di Ayer Keroh pada Rabu.
Mohd Ali (tengah) ketika berucap pada Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di GUC di Bangunan Yayasan Belia Dunia di Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diselar kerana masih belum membuat keputusan dan arahan untuk menghentikan peperangan di antara Palestin dan Israel.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam berkata, seharusnya jawatankuasa pertubuhan itu mengadakan perbincangan dan persetujuan supaya kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata.

Menurut beliau, seharusnya Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto sebagai kuasa dunia untuk bersama menghidupkan keamanan dengan menyokong gencatan senjata sekali gus meminta Israel menghentikan serangan dan keluar dari bumi Palestin.

"Jadi buat apa ada PBB? Benda yang mudah begini pun tak boleh dibuat dan biarkan sahaja orang berperang, hantarkan senjata dan sebagainya.

"Ini (berlaku) bom pula hospital, kasihan orang sakit pun nak dibom. Jadi keganasan ini dunia tidak patut biarkan begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa diadakan di Universiti Geomatika Malaysia (GUC) di Bangunan Yayasan Belia Dunia di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani; Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Pengerusi DMDI, Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Jamil Mukmin dan Pengerusi Forum Perang Palestin Israel yang juga Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor.

Tambah beliau, Amerika Syarikat wajar memainkan peranan asal negara itu untuk melebarkan misi kemanusiaan dan bukannya menggalakkan peperangan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu, Amerika Syarikat terkenal sebagai negara keamanan untuk melebarkan misi kemanusian tetapi hari ini sudah terbalik, kita dengar saja Amerika Syarikat pasti akan hantar bom, hantar roket.

"Harap gencatan senjata dapat dilaksanakan kerana apabila ia berlaku secara globalnya kita akan bergerak dengan misi bantuan seperti bantuan perubatan, makanan dan sebagainya kepada Palestin," katanya.