Kerajaan pertimbang naik elaun kesusahan pasukan SMART

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama anggota pasukan penyelamat pada perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri pada Selasa. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama anggota pasukan penyelamat pada perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun kesusahan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), yang kini RM100 sehari, kepada suatu jumlah yang lebih munasabah sebagai penghargaan dan motivasi kepada anggota pasukan itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, elaun yang dikhususkan kepada anggota pasukan SMART yang menyertai operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) di luar negara itu masih rendah.

Menyatakan kerajaan amat menghargai jasa dan komitmen pasukan SMART yang terlibat dengan pelbagai misi SAR, beliau telah meminta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus untuk melihat perkara itu.

"Adalah munasabah jika elaun mereka yang dipanggil elaun kesusahan ini dapat dipertingkatkan sesuai dengan penyertaan mereka dalam misi SAR. Mereka adalah yang terbaik dalam pasukan mereka dan telah terpilih ke pasukan SMART,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 (BKN2023) di Markas SMART di Pulau Meranti, dekat sini pada Selasa.

Elaun kesusahan atau elaun khas diperkenal pada 24 Feb lepas selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian elaun itu kepada anggota pasukan SMART yang menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Pemberian elaun itu mendapat perhatian Anwar selepas beliau melakukan lawatan ke kem pasukan SMART di Turkiye pada 15 Februari lepas.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mencadangkan pasukan SMART yang kini dianggotai 141 anggota daripada tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia itu diperluaskan kepada tujuh agensi.

Pada 8 Februari 2023, pasukan SMART telah diiktiraf sebagai pasukan Mencari dan Menyelamat Bandar (USAR) oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyertai misi bencana di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dalam pada itu turut menyarankan semua agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana agar mengaplikasikan teknologi terkini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi memperkasakan operasi SAR.

Beliau berkata, penggunaan teknologi tersebut mampu membantu agensi yang terlibat untuk memahami risiko bencana, mempercepatkan proses membuat keputusan dan perkongsian maklumat bencana dapat disalurkan secara masa nyata.

"Selain kebergantungan kita kepada sumber manusia, teknologi terkini seperti UAV (kenderaan udara tanpa pemandu atau dron) perlu dimanfaatkan,” katanya.