Orang Asli sanggup tempuh laluan balak lebih 50KM untuk ke Jualan Rahmah

Alisa menggendong bayi, Muhammad Arifan Asri, 9 bulan, memilih sayur kobis pada harga murah sempena Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, pada Selasa. - Foto Bernama
Alisa menggendong bayi, Muhammad Arifan Asri, 9 bulan, memilih sayur kobis pada harga murah sempena Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini sanggup menempuh laluan balak sejauh lebih 50 kilometer semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah sempena Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, pada Selasa.

Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Balar, Alisa Along, 23, berkata, dia tidak mahu terlepas peluang mendapatkan bekalan makanan yang lebih murah memandangkan program jualan penjimatan ini bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Justeru, menurutnya dia bersama suami, Asri Aris, 21, dan bayi mereka berusia sembilan bulan keluar dari kampung seawal jam 8 pagi dengan menunggang motosikal.

"Suami yang bekerja di ladang getah di Pos Balar mengambil cuti hari ini untuk datang ke sini. Kami dapat tahu tentang Jualan Rahmah ini dua hari lepas dan merancang untuk beli barangan keperluan seperti beras, sayur, lauk basah serta keperluan lain.

"Hari ini kami bukan sahaja berjimat dengan membeli pada harga murah, malah dapat minyak masak dua kilogram (kg) percuma. Berbaloi kami meredah laluan balak selama enam jam untuk pergi dan balik,” katanya ditemui pemberita di pekarangan Dewan Ayahanda di Kuala Betis di sini.

Masyarakat Orang Asli di daerah ini tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga murah sempena Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, pada Selasa. - Foto Bernama
Masyarakat Orang Asli di daerah ini tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga murah sempena Jualan Rahmah Kasih Sayang di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, pada Selasa. - Foto Bernama

Along Ngah Jasin, 50, pula berkata, dia merebut peluang membeli empat kampit beras 10kg yang dijual lebih murah pada program itu sekali gus menjimatkan perbelanjaan dapurnya.

"Saya belanja hampir RM200 bagi membeli telur, ayam, gula dan beras kerana harga hari ini sangat berbeza berbanding hari biasa, contohnya telur gred C ini harganya RM11 sepapan, beras pek 10kg RM30 dan ayam RM7.50 satu kg,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, inisiatif kerajaan mengadakan program Jualan Rahmah mampu meringankan beban rakyat kerana mereka dapat membeli barangan pada harga sangat berpatutan.

Menurutnya jualan itu merupakan kali ketiga diadakan di perkampungan Orang Asli tahun ini.

"Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini telah diadakan secara keseluruhan 18 kali di Parlimen Gua Musang.

"Kerajaan sudah memberi subsidi sebanyak RM240,000 membabitkan jualan kira-kira RM1.8 juta di kawasan Parlimen ini. Ia satu jumlah yang besar disubsidikan oleh kerajaan kepada penduduk luar bandar, jadi saya kira ini program yang amat baik,” katanya. - Bernama