Jualan Rahmah: Kerajaan sudah belanja RM30 juta

Fuziah (kiri) melayan pengunjung yang ingin mendapatkan barangan keperluan harian di Karnival Jualan Rahmah di Kampung Laut, Tumpat pada Jumaat.
Fuziah (kiri) melayan pengunjung yang ingin mendapatkan barangan keperluan harian di Karnival Jualan Rahmah di Kampung Laut, Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan sudah membelanjakan RM30 juta daripada RM100 juta yang diperuntukkan untuk program jualan Rahmah bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, jumlah itu melibatkan perbelanjaan bermula pertengahan April sehingga 30 Jun.

"Peruntukan RM100 juta itu diluluskan di Parlimen pada Mac lalu. Bagaimanapun pertengahan April baru ia dapat digunakan.

"Insya-ALLAH, kita akan teruskan dan pastinya bajet tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Karnival Jualan Rahmah di Kampung Laut di sini.

Menurut beliau, pihaknya berharap selepas ini lebih banyak peruntukan dapat diberikan untuk melaksanakan program jualan Rahmah tahun hadapan.

Ujarnya, sehingga kini seramai 1.1 juta orang telah mengunjungi karnival jualan Rahmah di seluruh negara.

Fuziah memberitahu, jualan Rahmah menawarkan barangan keperluan pada harga murah yang telah mendapat subsidi kerajaan dan kemudian diberi diskaun.

Tambah beliau, sebanyak 17 barangan keperluan dijual merangkumi minyak masak, telur, ayam, ikan dan sebagainya pada harga murah.

"Ini merupakan salah satu usaha kerajaan memastikan subsidi secara bersasar dapat dinikmati oleh rakyat.

"Kita adakan program ini melalui tiga konsep iaitu di dalam premis pasar raya, di luar seperti dewan orang ramai serta bergerak," ujarnya.

Fuziah memberitahu, kaedah bergerak ini menggunakan pendekatan 'kedai cari rakyat'.