'Master Chef' dedah ilmu TVET kepada anak yatim dari awal

Peserta Projek Master Chef sedang menyiapkan tugasan masing-masing iaitu menyediakan hidangan masakan barat.
Peserta Projek Master Chef sedang menyiapkan tugasan masing-masing iaitu menyediakan hidangan masakan barat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 60 anak yatim di daerah Kuala Muda berpeluang mengasah bakat dan kemahiran dalam bidang kulinari sekali gus diberi pendedahan tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak awal.

Pengerusi Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu berkata, selain menitikberatkan ilmu dan tanggungjawab, kehadiran masyarakat yang memberi sokongan juga menjalinkan kemesraan tanpa rasa dipinggirkan.

Menurutnya, keupayaan dan bakat yang dimiliki bukan sahaja mampu mencungkil potensi diri golongan berkenaan, malah membuka cabang baharu dalam bidang kerjaya mereka pada masa hadapan.

"Kebiasaannya, kita lihat banyak program melibatkan anak yatim dibuat dalam bentuk pemberian sumbangan atau ceramah motivasi semata-mata, tetapi kali ini ada kelainan.

"Mereka diberi pendedahan secara praktikal dalam bentuk pertandingan memasak dan dekorasi kek," katanya semasa hadir ke Projek Master Chef di Titi Semeling pada Sabtu.

Menurutnya, peserta terdiri daripada tiga buah rumah kebajikan antaranya Rumah Anak Yatim Jariah Qaseh, Rumah Anak Yatim Az-Zahra dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al Munirah berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Dari kiri Nurul Fatihah Aulia Mohd Faiz, 9; Nur Zara Dhia Rania Abdul Basir, 8; Muhammad Adam Nabil Adnan, 12; dan Eqmal Mohd Faisa, 12, selesai tugasan dalam pertandingan dekorasi kek.
Dari kiri Nurul Fatihah Aulia Mohd Faiz, 9; Nur Zara Dhia Rania Abdul Basir, 8; Muhammad Adam Nabil Adnan, 12; dan Eqmal Mohd Faisa, 12, selesai tugasan dalam pertandingan dekorasi kek.

"Segala persiapan bahan dan kelengkapan diuruskan sukarelawan serta sumbangan pelbagai pihak di samping mendapat kerjasama Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Komuniti Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menjemput anak-anak dari empat buah pusat mengaji percuma, Rumah Jariah untuk menyertai pertandingan nasyid," katanya.

Jelas Natipah, riak wajah anak-anak yang gembira dirai dalam majlis berkenaan cukup membuatkan dirinya tersentuh.

"Rasa bersyukur dan bertuah dapat bersama mereka, kebahagiaan mereka menjadi keutamaan," jelasnya.

Natipah berkata, setiap kumpulan yang diumumkan pemenang akan membawa pulang wang tunai RM100 setiap seorang.

"Kita nak hargai mereka, gembirakan mereka di samping beri peluang mereka belajar sesuatu kemahiran baharu yang mungkin boleh beri manfaat pada masa depan," katanya.