'Pertama kali jumpa namun jadi yang terakhir...'

Nur Aisyah (kiri) tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Forensik Hospital Port Dickson. Sazali (kanan) menunjukkan gambar Allahyarham Qusyairie.
Nur Aisyah (kiri) tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di Forensik Hospital Port Dickson. Sazali (kanan) menunjukkan gambar Allahyarham Qusyairie.
A
A
A

PORT DICKSON - "Banyak kali saya beritahu dia isteri nak sangat jumpa dengannya, tapi nampaknya hanya berkesempatan jumpa dengannya dalam keadaan paling menyedihkan." Demikian luah Sazali Eli, 57, yang merupakan bapa tiri kepada Nicholas Laseh, 21,atau nama Islamnya, Muhammad Qusyairie Linggi yang meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Pantai di sini pada Ahad.

Menurut Sazali, sejak berkahwin dengan ibu Allahyarham pada tahun 2019, dia tidak pernah berkesempatan berjumpa dengan anak tirinya itu melainkan hanya berhubung melalui telefon kerana arwah sudah lama berhijrah ke Semenanjung. "Tapi kami selalu berhubung bertanya khabar. Yang sedihnya hari ini (Isnin) kali pertama saya jumpa dengannya namun akan jadi hari terakhir menatap wajahnya kerana dia telah pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Forensik Hospital Port Dickson di sini pada Isnin.

Menurut Sazali, keinginan untuk saling bertemu itu bukan sekadar datang darinya, malah Allahyarham juga ingin bertemunya selepas membuat keputusan memeluk agama Islam pada April lalu. Sementara itu, ibu Muhammad Qusyairie, Nur Aisyah Muli, 49, berkata, anak keempatnya itu ingin sangat berjumpa dengannya bagi melepaskan rindu tetapi berdepan kekangan kewangan selain tidak mendapat cuti.

"Saya sebenarnya dah tak jumpa arwah lebih 10 tahun sejak dia ke Semenanjung untuk bekerja, tapi kami selalu saja bertanya khabar. "Ini pun kali pertama saya datang ke Semenanjung, tetapi sedih datang untuk melihat jenazahnya," katanya.

Nur Aisyah
Nur Aisyah

Sementara itu teman serumah Allahyarham, Norhuzairi Che Azmi, 21, berkata, rakannya itu seolah-olah mengetahui akan meninggal dunia apabila meminta maaf secara tiba-tiba tiga hari sebelum kejadian.

Tambahnya, Allahyarham juga kelihatan lesu dan badannya dingin apabila dipegang.

"Arwah minta maaf jika ada buat perkara bukan-bukan yang menyebabkan saya terasa dan turut beritahu dia mungkin akan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya beritahu dia jangan cakap macam itu nanti saya tiada kawan. Dia memang seorang kawan yang baik," katanya.

Muhamad Norhuzairi (tengah) tidak dapat menahan sebak.
Muhamad Norhuzairi (tengah) tidak dapat menahan sebak.

Jelas Muhamad Norhuzairi, arwah memeluk Islam pada April lalu selepas menunjukkan minat terhadap Islam bulan Disember tahun lalu.

"Arwah tertarik melihat saya solat dan membaca surah Yasin. Dia meminta saya mengajarnya solat dan mengambil wuduk.

" Alhamdulillah dia pergi sebagai seorang mualaf Islam," katanya.

Semalam media melaporkan, Muhammad Qusyairie yang bekerja sebagai pekerja restoran dan seorang lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia akibat nahas dua motosikal pada jam 3.20 petang di Kilometer 8 Jalan Pantai di sini.

Jenazah Muhammad Qusyairie akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Intan Perdana di sini selepas proses bedah siasat selesai.