Pekerja kilang tak mengaku salah miliki bahan letupan, pistol tiruan

Bonny diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pada Isnin.
Bonny diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan memiliki bahan letupan sendiri (IED) dan sepucuk pistol tiruan tanpa kebenaran, pada 8 Oktober lalu.

Tertuduh, Bonny Anak Tigong, 32, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memiliki IED dan sepucuk pistol tiruan jenis kayu tanpa kebenaran yang sah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Flat Taman Pandan, Mak Mandin di sini, pada 8 Oktober lalu, antara jam 6.30 petang dan 7.35 malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Bagi Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi Seksyen 36 Akta Senjata 1960, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah kerambit bersama sarung tanpa tujuan yang sah di lokasi dan masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma' 'Amira Shahidani dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 16 November depan.