'Bersatu dan Pas saling melengkapi' - Razali

Razali (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong.
Razali (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong.
A
A
A

KUALA NERUS - Tidak timbul krisis antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kedua-dua parti berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menafikan dakwaan bahawa parti tersebut hanya menjadi pak turut Pas.

Menurutnya, dakwaan tersebut bertujuan untuk melaga-lagakan kedua-dua parti itu yang disifatkan ditakuti oleh pihak lawan memandangkan hubungan sesama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) amat kukuh dan kuat.

"Mana ada (isu pak turut). Bersatu dan Pas saling lengkap melengkapi dan inilah yang ditakuti pihak lawan sebab kita kuat.

"Kita jadi pelengkap kepada Pas dan Pas melengkapkan lagi struktur dia. Tiada krisis dan orang yang cipta krisis antara Bersatu dengan Pas ini sebenarnya niat nak hancurkan (hubungan).

"Cuma pergerakan kami (PN) di landasan yang baik. Insya-ALLAH kami akan jadi pembangkang yang baik untuk negara," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman menyifatkan Bersatu hanya menjadi pak turut Pas dan sebagai pelengkap agenda politik jumud parti Islam itu.

Dr Muhammad Faiz berkata demikian ketika mengulas coretan seorang ahli Bersatu yang mencadangkan kepimpinan parti berkenaan dirombak.

Artikel Berkaitan:

Dr Muhammad Faiz turut berpendapat, sekiranya Bersatu menjadi semakin ekstrem di bawah PN, sukar untuk parti itu membentuk kerajaan pusat memandangkan perkara itu hanya dapat dicapai melalui kerjasama dengan kaum-kaum lain.

Mengulas lanjut, Razali turut menafikan dakwaan bahawa Bersatu semakin ekstrem susulan menjalinkan kerjasama dengan Pas.

"Tak ada kena mengena Bersatu ini menjadi ekstrem. Bersatu ada struktur dia sendiri dan Pas ada struktur dia sendiri.

"Yang buat ekstrem ini bukan Pas tapi orang lain. Orang lain yang katakan Pas itu ekstrem tapi sebenarnya Pas tak ekstrem," ulasnya.