[VIDEO] Najib, anak perlu bayar tunggakan cukai RM1.7 bilion

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan pada Isnin, diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu.

Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Nallini berkata, Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bagi hutang berkanun, ia perlu dibayar bagi maksud mendapatkan hutang tersebut sahaja.

Menurutnya, seksyen tersebut juga berperlembagaan dan tidak menceroboh kuasa kehakiman atau melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dari segi hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

“Pihak perayu menyatakan Seksyen 106(3) akta sama meletakkan mereka pada kedudukan yang tidak setara dengan responden.

“Perayu berpendapat, seksyen itu memberi kuasa yang luas kepada pihak bertentangan, berhubung perkara cukai sekali gus menyebabkan perlanggaran hak terhadap Najib untuk mendapat layanan sama rata,” katanya.

Najib dan Mohd Nazifuddin
Najib dan Mohd Nazifuddin

Artikel Berkaitan:

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati, tiada pelanggaran Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana statut cukai lulus mestilah mematuhi klasifikasi.

Menurutnya, tugas mengenakan cukai adalah fungsi kedaulatan kerajaan maka ia tidak boleh dianggap sebagai fungsi persendirian.

Katanya, responden mengenakan cukai ke atas Najib dan anaknya, sebagaimana terpakai kepada semua warganegara.

Justeru, beliau berkata, hujahan pihak pembelaan bagi pemimpin UMNO dan Nazifuddin berhubung dakwaan terdapat perlanggaran Perkara 8 ini adalah tidak berasas.

Katanya, Akta Cukai Pendapatan dilaksana untuk memastikan pungutan cukai dibuat dengan cekap demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya malah Seksyen 106(3) akta itu mempunyai hubungan rasional dengan pungutan cukai mampan.

Beliau berkata, kuasa semakan perlembagaan yang terkandung dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan merupakan instrumen harus digunakan oleh Badan Kehakiman dengan berhati-hati.

Katanya, jika diaplikasikan secara sembarangan perkara tersebut akan mengakibatkan kerosakan yang besar.

“Di rayuan ini, kuasa berkenaan mampu menjejaskan sistem pungutan cukai negara, dan menjejaskan fungsi kerajaan dan rakyat.

“Justeru, rayuan dua perayu ditolak dengan tiada perintah terhadap kos,” katanya.

Dalam kes ini, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili Najib dan Nazifuddin sementara Ketua Peguam Cara Hasil, Dr Hazlina Hussain bagi pihak LHDN selaku responden.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pekan dan anaknya itu tidak hadir semasa prosiding berlangsung.

Najib dan Nazifuddin merayu, selepas dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion RM37.6 juta.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Dua beranak itu juga gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Pada 10 Mei 2022, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Najib dan Nazifuddin diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.