Cari jalan, bukan desak siswa bayar yuran pengajian

No Image Caption
A
A
A

KEMISKINAN merupakan antara faktor kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah sudah tentu tidak mahu menyusahkan keluarga, lantas mengambil jalan mudah dengan mencari kerja walaupun mereka mendapat keputusan SPM yang cemerlang dan peluang dipilih masuk ke universiti adalah cerah.

Namun, Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu sedikit sebanyak memberikan sinar baharu kepada mereka.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan sama sekali mengizinkan mahasiswa khususnya daripada kalangan keluarga susah dihalang atau dinafikan hak untuk mendapat tempat di universiti awam hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan,” tegas beliau.

Justeru, Perdana Menteri mengumumkan bahawa bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.

Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Pada masa sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Artikel Berkaitan:

Apa yang disentuh Perdana Menteri itu amat bertepatan kerana ia sememangnya berlaku di negara kita pada hari ini.

Sebelum ini, ada ibu bapa amat berharapkan agar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa serta bakal pelajar yang mempunyai masalah untuk membayar yuran.

Pihak-pihak terlibat dikatakan sukar bertolak ansur, malah seolah-olah tiada belas ihsan sehingga lebih sanggup melihat pelajar tidak menghabiskan pengajian mereka.

Amat rugi apabila melepaskan pelajar yang berpotensi untuk memajukan negara pada masa hadapan hanya kerana masalah kewangan dihadapinya.